Iklan

Kes Covid-19 naik kerana banyak ujian saringan, kata pakar

Ragananthini Vethasalam3 years ago7th Jun 2021Berita
Selangor screening test covid19 tmi 003
Ujian saringan percuma di Selangor juga menyumbang sebahagian besar angka harian Covid-19, kata pakar kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.
Iklan

JUMLAH kes Covid-19 berubah-ubah dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana jumlah ujian yang dibuat setiap hari, menurut data Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 32,370 ujian yang terdiri dari ujian RTK-Antigen dan RT-PCR dibuat pada 11 April sementara 95,676 ujian dilakukan pada 19 Mei.

Kiraan kasar berdasarkan data kementerian menunjukkan, antara 20 Mei dan 1 Jun, sampel ujian yang diambil berkisar antara 89,227 dan 114,000. Ini menunjukkan terdapat peningkatan jumlah sampel yang diambil untuk diuji.

Kadar positif berada pada tahap 4%.

Pakar Virologi Dr Chee Hui Yee dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia berkata, jumlah kes yang tinggi disebabkan oleh peningkatan jumlah ujian yang dibuat.

“Selangor juga buat ujian saringan percuma untuk penduduknya. Ini juga telah meningkatkan jumlah kes, ”katanya.

Beliau menggesa lebih banyak negeri mengikut jejak Selangor dengan membuat ujian secara besar-besaran menggunakan alat ujian Antigen.

Dr Chee, bagaimanapun, berkata penting mengambil kira kes yang tidak dilaporkan dalam masa nyata.

Angka kes harian berubah-ubah antara 6,000 dan 8,000 malah mencapai puncak 9,020 pada 29 Mei.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, punca turun naik jumlah kes harian disebabkan bilangan pesakit simptomatik yang datang, kontak rapat yang dipanggil untuk diuji, kemampuan kakitangan kesihatan awam, logistik dan juga aktiviti ujian besar-besaran.

“Kita perlu tafsirkan data berdasarkan semua petunjuk kesihatan awam yang relevan.

“Melihat hanya jumlah yang menjalani ujian, sukar untuk disimpulkan jika jumlah ujian yang dilakukan cukup.

“Kita patut tengok semua perspektif secara kolektif. Wang dan sumber selalu terhad. Ia perlu diutamakan mengikut indeks morbiditi dan kematian semasa. Dengan semakin banyak kes sporadik, keutamaan sekarang adalah meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar percaya lebih banyak ujian perlu dilakukan.

Katanya jumlah ujian perlu 20 dan 30 kali lebih banyak daripada kes positif yang dikesan.

Dr Zainal berkata, berdasarkan petunjuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jika kadar positif di bawah 5% maka itu bermakna jangkitan terkawal dan sebaliknya.

Sementara itu, berkongsi data sendiri mengenai ujian harian di Twitter, Dr Amar Singh HSS berkata kadar positif berada pada 7% antara 29 Mei hingga 4 Jun.

“Belum ada penurunan jumlah. Angka harian dipengaruhi oleh angka ujian,” tulis pakar perunding pediatrik itu di Twitter.

Malaysia mencatatkan 6,241 kes semalam, dengan 5,133 kes telah pulih selain melaporkan 87 kematian. – 7 Jun, 2021.

Iklan
Iklan