Iklan

Bantuan Putrajaya tak cukup, kata B40, pekerja harian

B40
Bantuan tunai kerajaan tidak cukup bagi golongan B40 dan pekerja harian menghadapi PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.
Iklan

BANTUAN tunai yang dihulurkan kerajaan untuk menghadapi sekatan pergerakan penuh melegakan pekerja gaji harian, selepas setahun pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jumlah bantuan itu mungkin tidak cukup untuk memenuhi keperluan P Marcus Gunalan yang bekerja di sebuah kilang kayu di Benta, Pahang.

Pendapatannya terputus sepanjang tempoh sekatan pergerakan sudah pastinya sukar, apatah lagi tiga anaknya masih belajar.

“Gaji kami dibayar ikut hari dan apabila tiada kerja untuk 14 hari, hampir separuh gaji saya hilang,” kata bapa berusia 48 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya ada 3 orang anak,  seorang di UKM, seorang Tingkatan Enam dan seorang lagi Tingkatan 3. Walaupun kelas secara online, bahan-bahannya mesti kena beli dan ini juga satu perbelanjaan untuk kami.”

Keluarganya kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isterinya yang bekerja sebagai kerani.

Marcus berkata apa yang lebih membuatnya rasa tertekan, majikannya memaklumkan beliau tidak layak untuk menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Saya terpaksa minta bantuan NGO di kawasan saya untuk bayaran ansuran pinjaman peribadi dan rumah.”

Keluarga berpendapatan rendah seperti Marcus layak menerima bantuan sekali beri atau one-off di bawah pakej rangsangan baharu untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 hingga 14 Jun. 

Bagi golongan berpendapatan rendah seperti Marcus, bantuan ini tidak cukup kerana tiada siapa tahu berapa lama pandemik Covid-19 akan berakhir.

Di bawah pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+), bantuan tunai sebanyak RM500 akan diberikan kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang dari RM2,500; RM300 kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,501-RM5,000 sebulan; dan, RM100 untuk individu bujang berpendapatan kurang dari RM2,500.

Pembayaran akan dibuat pada akhir Jun.

Walaupun dibenarkan beroperasi semasa PKP penuh, peniaga kuih Zanita Mat Ali di Pasir Pekan, Kelantan berkata pendapatannya terjejas teruk kerana jumlah pelanggan tidak ramai seperti biasa.

Zanita, 49, memberitahu The Malaysian Insight, banyak kuihnya tidak terjual kerana orang ramai takut untuk keluar semasa PKP.

“Saya hanya jual empat jenih kuih (untuk kurangkan kos), buah tanjong, tahi itik, jala emas dan sekaya telur, dibahagikan untuk dua gerai.

“Sebelum PKP, saya edar kuih ke tujuh kedai, semuanya pelanggan tetap saya. Ramadan tahun ini pun pendapatan tak seberapa,” katanya.

Zanita sudah 10 tahun berniaga kuih untuk menyara anak perempuannya, menantu dan dua cucu.

“Saya harap Covid-19 ini cepat berakhir supaya peniaga kecil macam saya boleh berniaga macam biasa semula.

“Saya juga berharap kerajaan boleh beri bantuan yang cukup kepada peniaga yang terjejas supaya kami dapat bertahan,” katanya.

Bagi pemandu teksi Moses Raman, bantuan tunai kerajaan hanya sebahagian kecil daripada pendapatannya yang terjejas akibat PKP. Jumlah bantuan yang diberi tidak cukup untuk membayar sewa bulanan teksi, katanya.

Moses, 53, yang berasal dari Klang, bercadang untuk mencari kerja sambilan susulan pendapatannya merosot teruk sejak PKP pertama kali dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

“Pendapatan saya susut 60% sejak PKP 1.0. Sekarang lebih teruk apabila kerajaan kenakan PKP penuh kerana saya hanya boleh bawa seorang penumpang pada satu-satu masa disebabkan banyak sekatan jalan raya.

“Bantuan yang kerajaan beri tak cukup. Tak cukup pun RM500 tak cukup nak bayar sewa teksi sebanyak RM600 sebulan,” katanya.

Moses mengulas bantuan tunai khas RM500 kepada pemandu perkhidmatan e-hailing dan kereta sewa, pemandu pelancong dan pemandu bas persiaran.

Bantuan berjumlah RM68 juta itu akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada Julai. – 7 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan