Golongan miskin bandar di Kota Damansara perlu bantuan
Iklan
MASALAH dihadapi golongan miskin bandar yang menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) semakin berat selepas setahun kawalan pergerakan dilaksana untuk menangani pandemik.
Penularan wabak di kawasan kepadatan tinggi ini hanyalah sebahagian daripada masalah dihadapi golongan ini yang sememangnya serba kekurangan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 8 Kota Damansara Yuslina Yusuf berkata selain pengangguran, perceraian dan tekanan, masalah kesihatan lain juga meningkat.
Yuslina memberitahu The Malaysian Insight ada kalanya ketika beliau tidak mempunyai jawapan untuk penduduk yang memerlukan bantuan, beliau sendiri tidak sanggup untuk menatap wajah mereka.
Walaupun menerima sumbangan, pengagihannya sukar kerana terlalu ramai yang memerlukan, kata wanita berusia 51 tahun itu yang memimpin persatuan berkenaan sejak 2017.
“Di sini terdapat 1,152 unit, empat blok, dan setiap blok memiliki 288 unit. Keseluruhannya, terdapat kira-kira 4,000 penduduk yang memerlukan.
“Namun bantuan pek makanan biasanya sampai dalam 200 hingga 300 pek. Saya tidak tahu bagaimana untuk selesaikannya.
“Jika ada yang sumbangkan 50 pek makanan, saya tidak tahu bagaimana nak bahagikan. Adakah 12 hingga 13 pek untuk satu blok?
“Kemudian akan ada yang bertanya, ‘Ini sahaja ke yang kamu dapat untuk kami?’”
Yuslina berkata beliau merasa bersalah kerana tidak dapat membantu penduduk ketika pandemik.
“Penduduk menderita. Bila saya turun ke bawah blok, saya tidak mampu untuk bertemu mereka.
“Kebanyakan penduduk di sini bukan bekerja di sektor penting. Mereka tidak bekerja di pejabat. Ada yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pekerja restoran dan khidmat mereka tidak diperlukan ketika sekatan pergerakan.
“Ini adalah kumpulan yang memang susah sebelum perintah kawalan pergerakan. Kemudian ada kumpulan lain yang baru kehilangan kerja dan tidak mampu menyara kehidupan mereka lagi,” katanya.
Yuslina menganggarkan di flatnya sahaja, kira-kira 20% penduduk kehilangan kerja. Dan lebih 1,000 unit atau 30% isi rumah bergantung kepada zakat sama ada dalam bentuk wang tunai, makanan atau bantuan sewa.
Satu lagi masalah yang kian meruncing ialah peningkatan ibu tunggal di kawasan perumahan berkenaan.
Walaupun beliau tidak ada jumlah sebenar, Yuslina berkata terdapat keluarga yang terjebak dalam situasi ini apabila si bapa ditahan kerana terlibat dengan dadah.
“Oleh kerana Covid-19, kita tidak boleh buat tinjauan dan mendapatkan angka sebenar.
“Dalam sesetengah kes, wanita mengandung tetapi masih belum berkahwin. Terdapat lebih enam kes sebegitu berlaku antara Jun tahun lalu dan Jun tahun ini.”
Covid-19 dan masalah kesihatan
Sekurang-kurangnya 10 keluarga di projek perumahan itu dijangkiti Covid-19 antara April dan Jun tahun ini, kata Yuslina.
“Kebanyakan kes menjalani kuarantin di rumah namun mereka tidak boleh tinggal dalam kediaman sempit seluas 60 meter persegi untuk jangka masa yang lama, jadi ada yang melanggar SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Namun tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di projek perumahan berkenaan.
Walaupun tiada Covid-19, masalah kesihatan menjadi rutin bagi masyarakat berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan awal dan masalah kesihatan ini menjejaskan keluarga mereka serta kemampuan untuk menjana pendapatan.
“Ada seorang penduduk yang mengalami tiroid yang bengkak di bahagian badan.
“Dia kemudian ke Hospital Selayang dan kini doktor mengesyaki penyakit itu adalah kanser, jadi dia tidak dapat bekerja dalam keadaan begitu.
“Isterinya menjual minuman dan anak-anaknya masih menuntut di universiti. Saya sudah maklumkan kepada mereka saya hanya boleh bantu melalui tabung makanan, namun saya tidak dapat kekalkan pendapatan mereka,” katanya.
Selain itu, anak kepada salah seorang penduduk berusia 16 tahun terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Remaja berkenaan terpaksa menjalani tiga pembedahan di Hospital Shah Alam yang mana kos bagi setiap pembedahan adalah RM1,900.
Pembedahan pertama dibuat pada 19 April dan yang seterusnya dijadualkan pada 24 Jun.
“Saya hanya berjaya kutip RM500 sumbangan untuk pembedahan kedua dan saya bimbang tidak mampu bayar,” kata ibu remaja berkenaan yang enggan dinamakan, kepada The Malaysian Insight.
“Tambahan pula, saya juga terpaksa menanggung kos perubatan lain seperti untuk cuci luka setiap hari. Saya juga perlu menabung untuk membeli kerusi roda kepadanya.”
Wanita berkenaan yang merupakan ibu tunggal, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,600, juga menanggung tiga lagi anak berusia 13 tahun, 12 tahun dan 9 tahun.
“Saya rasa mahu meminjam dengan ah long. Saya belum terima gaji untuk bulan Mei, bulan yang saya tidak bekerja selama 14 hari kerana dijangkiti Covid-19.
“Saya bimbang gaji saya dipotong bukan sahaja 14 hari tetapi juga ketika saya perlu jaga anak saya di hospital,” katanya.
Beliau setakat ini menerima bantuan guaman bagi membantunya mendapatkan pampasan daripada pemandu kenderaan yang melanggar motosikal anaknya.
Bagaimana masyarakat boleh bantu
Salah satu badan bukan kerajaan yang membantu penduduk di PPR ini adalah Community Transformation Initiative (CTI) yang sudah bertapak di kawasan itu sejak 2011.
CTI ketika ini dalam proses mengumpulkan RM30,000 selepas menerima permohonan bantuan daripada penduduk PPR.
Duit itu akan dibelanjakan untuk oksimeter, bakul makanan dan keperluan kecemasan lain, kata ketua pegawai eksekutif CTI, Margaret Loy, yang memberikan pecahan dana berikut:
(i) 20 unit oksimeter dengan harga RM150 setiap satu - RM3,000
(ii) 300 bakul makanan dengan harga RM70 setiap satu - RM21,000
(iii) Bantuan Kecemasan Lain - RM6,000
“Oksimeter akan digunakan untuk keluarga positif Covid-19 yang dikuarantin di rumah,” kata Loy.
“Oksimeter mengukur tahap oksigen mereka sehingga mereka tahu bila mereka sepatutnya pergi ke hospital.
“Setakat Jumaat lalu, sebanyak RM12,300 sudah dikumpulkan. Kami memerlukan RM17,700 lagi,” kata Loy.
Orang ramai boleh menyokong mereka dengan menyumbang dana melalui akaun bank mereka di Community Transformation Initiative Bhd MBB 5123 5261 8446.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menulis ke donations@cti.org.my. – 8 Jun, 2021.