Iklan

Segera vaksin petugas media, gesa Pejuang

Aminah Farid3 years ago7th Jun 2021Berita
49930973442 a56b697425 c
Pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun 2021.
Iklan

PEJUANG menyelar menteri Perikatan Nasional yang gagal memastikan pengamal media diutamakan dalam pemberian vaksin Covid-19.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah berkata, Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah bertanggungjawab memastikan petugas baris depan mendapat vaksin.

Beliau berkata, petugas media pada masa ini diketepikan dalam pemberian vaksin sedangkan golongan itu perlu perlu keluar bertugas setiap hari sewaktu pandemik.

“Kelihatan seperti segala penat lelah, risiko yang diambil dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli,” katanya.

Ulya berkata, pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri ketika bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19.

Pada April lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah meminta Putrajaya supaya mengutamakan pemberian vaksin kepada pengamal media memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan.

Beliau mencadangakn agar pemberian vaksin membabitkan pengamal media mungkin dibuat dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada April.

Pada 28 April lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan diberi vaksinasi pada bulan Mei.

“Malangnya sehingga 7 Jun, dua bulan selepas fasa kedua PICK bermula, ternyata kedua-dua Menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi pengamal media gagal menepati janji mereka,” kata Ulya.

“Pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor yang lain, petugas media terutamanya jurugambar dan juruvideo terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual dengan niat menabur bakti bagi negara untuk menangani Covid-19 sekaligus mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata, pengamal media adalah barisan hadapan dan Putrajaya perlu membantu memudahkan urusan mereka sebgaai penyalur maklumat kepada rakyat.

Semalam, negara mencatatkan sedikit penurunan dalam kes Covid-19, dengan 6,241 jangkitan baru dilaporkan. Jangkitan terbaru itu menjadikan peningkatan jumlah kes Covid-19 kebangsaan kepada 616.815 kes. – 7 Jun, 2021.

Iklan
Iklan