Iklan

Aktivis hantar petisyen minta Putrajaya henti tangkap Pati

Aminah Farid3 years ago8th Jun 2021Berita
Operasi imigresen tmi 24
Semalam, pihak berkuasa menyerbu sebuah tapak pembinaan dan menahan 156 pekerja asing tanpa dokumen yang dibawa ke pusat tahanan Semenyih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2021.
Iklan

SEBANYAK 150 kumpulan dan aktivis masyarakat sivil telah mengirim petisyen kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak Putrajaya menamatkan serbuan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) dan mengutamakan usaha memerangi Covid-19.

Langkah ini diambil selepas Hamzah Zainudin berkata Putrajaya akan tangkap Pati untuk memvaksinasi mereka.

Dalam sidang media maya hari ini oleh People’s Health Forum, wakil dan ahli panel Lim Chee Han berkata kenyataan Hamzah telah menimbulkan persepsi kerajaan mahu tangkap Pati secara besar-besaran dalam jangka waktu singkat.

Petisyen bertajuk “Hentikan Operasi Tangkap Migran Tanpa Dokumen, Fokus Pada Matlamat Kawal Penularan Covid-19”, ditandatangani oleh kumpulan pemikir, kumpulan hak asasi, parti politik dan juga individu terkemuka.

“Kami melihat pendekatan menangkap dan menahan Pati ketika ini sebagai menyulitkan usaha memerangi pandemik,” kata Lim.

– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2021.

Katanya terdapat kemungkinan besar penangkapan dan penahanan Pati pada masa ini akan menghasilkan kluster Covid-19 baharu di pusat tahanan imigresen.

“Ini akan meningkatkan penyebaran Covid-19 di kalangan Pati dan juga akan menjangkiti pegawai imigresen, pegawai polis dan pegawai mahkamah (yang terlibat dalam permohonan reman), serta ahli keluarga mereka,” katanya menambah perkara ini wajib dielakkan.

Lim berkata operasi seperti itu akan menakut-nakutkan Pati, tidak kira sama ada mereka ada dokumen atau tidak, menambah tindakan tersebut akan menyebabkan mereka mengelak dari wakil kerajaan dan memaksa mereka bersembunyi.

“Ini akan menyukarkan kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok di Malaysia. Imuniti kelompok memerlukan vaksinasi untuk 80% penduduk Malaysia, termasuk komuniti Pati.”

Katanya, kegagalan mencapai tahap vaksinasi sebanyak 80% akan melambatkan pemulihan ekonomi negara dan memperpanjang penderitaan rakyat.

Lim juga menegaskan Jabatan Imigresen tidak ada kemampuan untuk menangkap dan memulangkan dua hingga tiga juta pendatang tanpa izin di Malaysia.

Katanya, menurut Suhakam pada 1 Julai 2020, pusat tahanan imigresen yang hanya dapat menampung 12,530 tahanan telah melebihi kemampuan mereka dengan dipenuhi sebanyak 15,163 tahanan.

“Selain itu, lebih daripada 95% Pati bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Lim.

Semalam, pihak berkuasa menyerbu sebuah tapak pembinaan dan menahan 156 pekerja asing tanpa dokumen yang dibawa ke pusat tahanan Semenyih.

Pihak berkuasa imigresen berkata para tahanan akan disaring sebelum diberitahu kepada kedutaan masing-masing, sambil menambah para tahanan akan dihantar pulang.

Ini mengakibatkan protes oleh kumpulan masyarakat sivil dan aktivis yang berkata tidak kena pada waktunya kerana negara sedang menghadapi pandemik dan operasi seperti itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2021.

Dua panelis lain di forum hari ini, Irene Xavier dari Persatuan Sahabat Wanita, Selangor dan Muhammad Faisal, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata tindak balas seperti serbuan hanya akan terus menafikan lagi Pati dari sistem komprehensif yang sepatutnya melindungi mereka dalam semua bentuk.

“Kita akan terus mengulang buat benda sama jika tidak terapkan sistem yang komprehensif untuk menguruskan Pati,” kata Irene.

Katanya, negara ini ada undang-undang yang sepatutnya bertujuan melindungi pekerja asing namun penguatkuasaan lemah, oleh itu membuat masyarakat Pati rentan terhadap eksploitasi.

Kumpulan masyarakat sivil, aktivis dan lain-lain yang terlibat dalam petisyen itu berharap agar perdana menteri membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara untuk pendekatan yang lebih sesuai dan bersepadu dalam menangani Pati.

“Pada saat ini, kita perlu fokus pada tujuan mengawal penularan Covid-19 di negara kita.

“Matlamat lain adalah sekunder dan harus ditangguhkan jika bertentangan dengan tujuan utamanya, yakni mengawal dan mengatasi penyebaran Covid-19,” kata mereka. – 8 Jun, 2021.

Iklan
Iklan