Iklan

Ujian Covid-19 turun 7% minggu lepas

Ragananthini Vethasalam3 years ago9th Jun 2021Berita
Covid-19 vaccine 20210608 tmihasnoor 009
Penurunan ini kerana makmal bukan milik KKM lambat memasukkan data ke SIMKA, kata KKM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Jun, 2021.
Iklan

JUMLAH ujian Covid-19 yang dibuat turun 7% minggu lalu menjadi 713,226 berbanding minggu sebelum.

Menurut laporan mingguan Kementerian Kesihatan (KKM), sekitar 101,889 ujian dibuat setiap hari dalam minggu yang dikaji.

Kadar positiviti untuk minggu lalu adalah 7.3%, naik 0.3% berbanding minggu sebelum.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melalui Facebook berkata perkara ini berpunca dari makmal bukan milik KKM.

“Isu yang kerap dihadapi oleh KKM ialah makmal bukan KKM lambat untuk memasukkan data kes negatif ke SIMKA (Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam) setiap hari dan terutamanya pada hari cuti,” kata kementerian itu.

“Kes positif cepat dimaklumkan. Pun begitu kes harian yang dijalankan memadai tanda aras WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan angka kes negatif mungkin lebih daripada yang dilaporkan,” tambahnya.

Kata KKM, berdasar ukuran WHO, ujian yang memadai adalah bagi setiap kes positif sekurang-kurangnya 10 kes negatif dan sebaik-baiknya 30 kes negatif.

Kementerian juga sedang melihat proses hasil ujian RTK-Ag yang dibuat di rumah.

Menurut infografik dimuat naik ke Facebook, antara 26 Mei dan 8 Jun, jumlah ujian harian yang dijalankan antara 72,695 (7 Jun) dan 125,341 (28 Mei) sehari.

Ujian ini terdiri daripada jenis RT-PCR dan RTK Antigen.

Pakar perunding pediatrik Dr Amar Singh HSS baru-baru ini berkata tiada maknanya mendakwa jumlah kes positif Covid-19 makin turun sedangkan ianya disebabkan ujian saringan yang tidak mencukupi. 

“Tidak ada maknanya beritahu kita jumlah kes harian turun tanpa sesuaikan dengan jumlah ujian atau positiviti ujian.

“Kes akan turun jika kita uji lebih. Positiviti ujian kekal tinggi. Ujian terlalu sikit untuk pandemik yang besar,” kata Dr Amar melalui ciapan di Twitter.

Menurut kiraan Dr Amar, positiviti ujian berkisar antara 6.5% dan 7.9% untuk tempoh antara 29 Mei dan 7 Jun. – 9 Jun, 2021.

Iklan
Iklan