Iklan

Vaksin kami segera, desak pemandu teksi

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Jun 2021Berita
49930543248 5766379b30 b
Kumpulan pemandu teksi dan e-hailing desak kerajaan mengutamakan pemberian vaksin kepada ahli mereka secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun 2021.
Iklan

BIMBANG dengan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan penumpang, pemandu teksi merayu kerajaan agar dapat mengutamakan pemberian vaksin kepada golongan tersebut dalam masa terdekat.

Bagi Mohamad, pemandu teksi berusia 50 tahun, menganggap tugasan hariannya penuh dengan ketidak tentuan tatkala dia perlu berdepan dengan ramai penumpang dari pelbagai status kesihatan.

Mohamad adalah salah seorang daripada ribuan pemandu teksi dan e-hailing yang hidup dalam ketakutan terhadap Covid-19 dan sedang menunggu untuk diberi vaksin.

“Saya serahkan kepada Yang Maha kuasa. Sekarang terdapat banyak kes tidak bergejala, dan saya tidak tahu sama ada pembawa senyap yang menaiki teksi saya.

“Sekiranya mereka mempunyai gejala, saya mungkin boleh meminta mereka untuk keluar dari teksi walaupun sukar untuk dibuat.

“Itu menakutkan, tetapi saya masih perlu mencari rezeki untuk keluarga. Adalah lebih baik jika kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memvaksinasi kami lebih awal dan menganggap kami ini sebagai barisan depan,” kata Mohamad.

Melihat kepada trend peningkatan kes baharu dan angka kematian, kumpulan pemandu teksi dan e-hailing mendesak kerajaan supaya mengutamakan pemberian vaksin kepada ahli mereka pada kadar segera.

Presiden Gabungan Teksi Malaysia Kamaruddin Hussain berkata persatuannya mempunyai kira-kira 40,000 ahli di seluruh negara dan meminta kerajaan mempercepakant proses vaksinasi untuk pemandu teksi.

Pemandu teksi bimbang dijangkiti Covid-19 kerana terpaksa berdepan dengan orang ramai setiap hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2021.

“Dari PKP pertama (pada Mac tahun lalu), kami salah satu sektor penting yang membantu kemajuan negara. Kami juga boleh dianggap sebagai barisan depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami membawa penumpang dan kami berisiko terkena Covid-19. Kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengutamakan pemandu teksi dan e-hailing (untuk vaksinasi),” katanya.

Ketika ini katanya, tiada saluran khas untuk pemandu teksi dan e-hailing bagi mendapat vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mereka perlu mendaftar dan menunggu giliran seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Ada seorang pemandu meninggal dunia akibat Covid-19 pada 6 Jun lalu di Hospital Ampang. Kami tidak tahu bagaimana dia boleh dijangkiti virus itu,” katanya.

Kamaruddin juga meminta kerajaan mempermudahkan proses pendaftaran vaksinasi kerana terdapat ramai pemandu teksi yang tidak mahir teknologi, dan tidak dapat mendaftar melalui MySejahtera.

“Ada yang menyarankan mereka dibenarkan terus ke pusat vaksinasi, hanya tunjukkan kad pengenalan dan dapatkan vaksin segera,” katanya.

Beliau berkata kaedah vaksinasi pandu lalu boleh menjadi pilihan lain untuk dipertimbangkan.

Sebanyak 6,239 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam yang mejadikan jumlah keseluruhan kepada 633,891 kes. Sementara itu, sebanyak 75 kematian dicatatkan menjadikan angka keseluruhan meninggal dunia akibat Covid-19 sebanyak 3,611 kes. – 11 Jun, 2021.

Iklan
Iklan