Iklan

154,866 dos vaksin Covid-19, lepasi sasaran CITF

Ragananthini Vethasalam3 years ago10th Jun 2021Berita
Mobile vaccine 070621 tmiseth 05
Menurut Jawatankuasa Khas Jamiman Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sejumlah 3.94 juta dos vaksin sudah diberikan kepada penerima dalam program imunisasi itu setakat jam 11.59 malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Jun 2021.
Iklan

SEBANYAK 154,866 dos vaksin diberikan menerusi program imunisasi Covid-19 kebangsaan semalam susulan langkah Putrajaya meningkatkan usaha memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan pelalian itu.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sejumlah 3.94 juta dos vaksin sudah diberikan kepada penerima dalam program imunisasi itu setakat jam 11.59 malam tadi.

Sebanyak 1.22 juta orang berjaya melengkapkan dua dos vaksin manakala 2.72 lagi sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos.

Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penerima vaksin tertinggi iaitu seramai 577,344 orang.

Sementara itu, sekitar 12.79 juta orang sudah mendaftar untuk program imunisi setakat hari ini.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengumumkan sudah memenuhi sasaran 150,000 vaksinasi setiap hari pada Jun dan berhasrat untuk mencapai 200,000 suntikan setiap hari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Covid-19, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan memperluas kapasiti vaksinasi di Lembah Klang yang dijangka meningkatkan jumlah penerima vaksin.

Malaysia melaporkan 6,239 kes baru semalam, berbanding 7,386 kes pulih manakala terdapat 75 kematian. Kes aktif, setakat ini berjumlah 81,575.

Walaupun jumlah kes pulih melebihi kes baru, namun negara mencatatkan rekod penempatan pesakit tertinggi di ICU dengan 905 kes dilaporkan semalam, dan daripada jumlah itu 453 pesakit kini memelukan sokongan alat pernafasan.

Lebih 150,000 dos vaksin Covid-19 mula diberikan pada Selasa, menepati sasaran harian yang ditetapkan untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok mengikut jadual sebelum akhir tahun.

Data yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menunjukkan sebanyak hampir 70% daripadanya menerima dos pertama dan baki mendapat dos kedua.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya meletakkan sasaran 150,000 dos vaksin sehari diagihkan pada bulan ini, sebelum kadar vaksinasi harian ditingkatkan dari bulan ke bulan.

Malaysia dijangka menerima 16 juta dos vaksin Covid-19 dalam masa dua bulan akan datang, kata Muhyiddin.

Awal minggu ini menteri penyelaras program vaksinasi Covid-19 Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menetapkan sasaran lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos. – 10 Jun, 2021.

Iklan
Iklan