Elit, politikus tak tergugat dengan kemarahan rakyat, kata penganalisis
Iklan
SIKAP acuh tak acuh politikus mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 membuatkan lebih ramai rakyat mulai peka dengan ketidakadilan dan pilih kasih, kata penganalisis.
Namun, mereka berkata sentimen masyarakat tidak semestinya beri kesan terhadap politikus atau mempengaruhi kerjaya politik mereka semasa pilihan raya.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight rakyat lebih menyampah dengan dasar yang bertukar-tukar berbanding tokoh masyarakat langgar undang-undang kerana ia tidak memberi kesan langsung terhadap rakyat.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dunia dalam talian menyaksikan reaksi luar biasa rakyat Malaysia yang menyatakan rasa jijik mereka di mana #KerajaanGagal masih kekal menjadi tanda pagar popular, digunakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati.
Penganalisis kanan di ISIS, Tashny Sukumaran percaya kini rakyat sudah celik dan menyampah dengan pilih kasih isu kompaun dan denda lain yang berkaitan dengan PKP buat sementara waktu ini.
Tashny, bagaimanapun berkata, masih kurang jelas sama ada sentimen ini menjejaskan politikus atau tidak.
“Walaupun mungkin ada kemarahan individu bila pilihan raya makin dekat, calon akan ada banyak peluang untuk tebus dengan berikan bantuan dan janji,” katanya.
Katanya politikus memang sudah tahu dan sedar mengenai sentimen rakyat terhadap mereka.
“Namun, itu tak beri kesan besar dalam proses membuat keputusan mereka yang lebih luas walaupun ada beberapa pusingan-u atau pecat memecat sana sini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik bebas Ooi Kok Hin berkata pandemik menunjukkan rakyat sekarang sudah kurang feudal dan lebih sanggup berhadapan dengan golongan ‘elit’ atau ‘kayangan’ termasuk selebriti, golongan diraja, dan jutawan.
Ini kerana rakyat yang menanggung beban besar.
“Jika kluster dan kes baharu kekal tinggi, PKP penuh mungkin dilanjutkan, kehidupan dan pergerakan rakyatlah yang dibataskan.
“Golongan elit masih boleh bergerak, jumpa keluarga mereka, pandu kereta baharu sementara sebahagian daripada kita tak boleh jumpa keluarga selama setahun,” katanya.
Katanya, tidak jadi masalah jika golongan elit sedar perkara ini.
Masalahnya banyak pihak gagal bekerjasama kerana konflik kepentingan.
“Yang penting adalah kegagalan menghukum pilih kasih yang mengakibatkan masalah kolektif, apabila beberapa pihak tak mahu kerja sama sebab ada konflik kepentingan,” katanya.
‘Kayangan’ pada awalnya dinamakan sempena kluster yang dikesan tahun lalu, tetapi telah dilihat dari sudut pandang berbeza oleh orang ramai selepas dilaporkan ada beberapa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negeri telah membuat masalah ketika dikuarantin.
Sejak itu, rakyat menyebut individu kelas atasan yang bermasalah dan mengelak undang-undang ini sebagai golongan ‘kayangan’.
Pembantu profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr. Rabi’Ah Aminudin berkata para politikus sedar apa yang dibuat warganet itu.
“Kita boleh nampak ini bila dengan cepatnya kerajaan jelaskan atau tukar SOP Covid-19 sebab sentimen orang ramai di platform dalam talian,” katanya.
Rabi’Ah berkata, walaupun politikus sedar hal ini, ia tidak semestinya dipandang serius oleh mreka kerana masyarakat masih boleh dipengaruhi oleh apa yang berlaku malah politikus masih sangat berpengaruh di belakang tabir.
Beliau, bagaimanapun berkata, ini juga menunjukkan politikus lebih waspada bagi mengelak reaksi rakyat.
“Kami sudah nampak bagaimana politikus yang menimbulkan kemarahan orang ramai masih boleh menang pilihan raya dengan majoriti besar.
“Oleh itu, selagi kedudukan di kawasan mereka kuat, kita tidak boleh kata reaksi masyarakat, secara amnya, akan beri kesan kuat kepada politikus kecuali jika mereka bercita-cita untuk dapat kedudukan lebih besar dalam kerajaan,” katanya.
Perkembangan bahaya
Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Aira Azhari berkata, sikap tak percaya rakyat terhadap tadbir urus, demokrasi dan politik sebagai perkembangan bahaya kerana institusi demokrasi akan terhakis dan bakal mencambahkan benih-benih pelampau, populisme, autoritarianisme.
“Sangat jelas kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kerajaan, politik, dan akhirnya demokrasi telah hancur,” katanya.
“Kerajaan sebelum ini dapat banyak pujian kawal pendemik, tetapi selepas pilihan raya Sabah khususnya, rakyat Malaysia makin hilang kepercayaan terhadap kemampuan dan kesungguhan politikus bawa kita hadapi pandemik,” katanya.
“Ini adalah perkembangan berbahaya kerana kesan hakisan kepercayaan terhadap institusi demokrasi ini akan menyemarakkan api ekstremisme, populisme, dan autoritarianisme,” katanya.
Aira mengambil contoh di India di mana parti nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi telah memburukkan lagi kesan pandemik.
Katanya, bila bercakap tentang politikus, di Malaysia sangat susah kemarahan rakyat boleh gugat populariti atau kedudukan politikus diperingkat nasional.
“Ketahuilah menteri yang tak kompeten dipilih oleh majoriti kawasannya. Maksudnya, cara untuk jatuhkan mereka ini ialah dengan tidak mengundi mereka.”
“Sebab itulah pendidikan pengundi sama penting dengan reformasi institusi,” tambahnya.
Sejak pandemik ini, terdapat beberapa politikus dan tokoh masyarakat ditangkap mencabul SOP oleh warganet malah ada yang didenda kerana tekanan orang ramai dalam talian.
Senarai itu merangkumi:
1. Bekas pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, Tajuddin Abdul Rahman muncul memakai perisai muka tanpa pelitup dalam sidang media nahas LRT pada 25 Mei. Sikapnya dalam sidang media itu mengakibatkan dia dipecat dari Prasarana.
Dia dikompaun RM1,500 kerana melanggar SOP Covid-19.
2. Exco Terengganu Azman Ibrahim didenda RM2,000 setelah didapati melanggar SOP setelah jirannya berkunjung ke rumahnya pada hari pertama Aidilfitri.
3. Penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya Khalid Mohamad Jiwa masing-masing didenda RM10,000 kerana melanggar SOP Covid-19 kerana menganjurkan majlis tahnik anak kedua mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Zulkifli Mohamad dan tiga penceramah agama yang hadir pada majlis itu juga masing-masing didenda RM2,000.
4. Selebriti Noor Neelofa, dan suaminya dikompaun berkali-kali, pertama, kerana tidak menjaga penjarakan diri semasa berzikir, kedua kerana melanggar larangan perjalanan rentas negeri untuk bulan madu, dan yang terbaharu kerana gagal mengimbas MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka. Bagaimanapun kes ketiga masih berjalan.
Dia dan suaminya telah membayar denda sebanyak RM20,000 setakat ini. – 12 Jun, 2021.