Mageran usaha Dr Mahathir untuk kembali berkuasa, kata penganalisis
Iklan
PENUBUHAN Majlis Gerakan Negara (Mageran) tidak akan menyelesaikan krisis kesihatan awam dan ekonomi semasa tetapi sebaliknya akan memberi peluang terakhir kepada Dr Mahathir Mohamad untuk kembali memimpin, kata penganalisis.
Mereka berkata cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan Mageran dan kesediaannya mengetuai bagi menyelamatkan negara adalah peluang terdesak dan terakhirnya untuk memimpin semula.
Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight bahawa keutamaan ketika ini adalah untuk membuka semula Parlimen yang digantung kerana darurat. Seorang penganalisis bahkan mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan dan bukannya Mageran untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul.
Dr Lau Zhe Wei, penolong professor di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan Mageran tidak jauh berbeza dengan keadaan darurat semasa.
“Dr Mahathir mencadangkan kepada Agong agar beliau dapat menjadi pengarah operasi sekiranya Mageran ditubuhkan.
“Untuk menjadi perdana menteri, anda memerlukan majoriti (ahli Parlimen). Tetapi untuk menjadi pengarah operasi, peraturan seperti itu tidak berlaku,” katanya.
Lau juga berkata walaupun Mageran ditubuhkan, kerajaan sekarang pasti akan mencalonkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah operasi.
“Tidak ada undang-undang untuk menghalang perdana menteri dari menjadi pengarah.
“Pada 1969, ketika itu timbalan perdana menteri Abdul Razak dilantik sebagai pengarah atas alasan politik.
“Sekarang, walaupun mereka mencalonkan menteri kanan untuk mengambil alih, adakah Dr Mahathir akan menyokongnya? Jadi kesimpulannya, Mageran tidak akan berfungsi dan bukan isu,” katanya.
Dr Mahathir semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lepas mengusulkan penubuhan Mageran bagi membantu menguruskan isu-isu yang dihadapi negara akibat wabak Covid-19.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau tidak membincangkan dengan Agong siapa yang akan memimpin Mageran tetapi beliau bersedia “jika kerajaan menginginkannya”.
Agong berkenan menghadap semua pemimpin parti sejak Rabu tetapi agenda mesyuarat tidak diketahui.
Sementara itu kolumnis veteran dan penganalisis politik Dr Cheah See Kian berkata hasrat Dr Mahathir jelas dengan cadangannya untuk menubuhkan Mageran.
“Walaupun Dr Mahathir mengkritik darurat sebagai tidak wajar, beliau mencadangkan Mageran. Mereka yang arif akan faham niat Dr Mahathir.
“Di bawah Mageran, kuasa untuk memimpin negara berada di tangan beberapa orang. Sekiranya Dr Mahathir dibenarkan memimpin Mageran, orang-orangnya akan berada dalam Mageran,” katanya.
Idea kerajaan perpaduan lebih baik
Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, keutamaan sekarang adalah membuka semula Parlimen dan membolehkan kerajaan serta pembangkang membincangkan cara terbaik untuk menangani krisis yang sedang dihadapi.
“Ini termasuk langkah pencegahan pandemik kerajaan dan bantuan kepada kumpulan yang terjejas.
“Krisis kesihatan awam ketika ini bukanlah krisis politik. Oleh itu, penubuhan Mageran tidak seharusnya menjadi pilihan utama.
“Dengan penubuhan Mageran, Parlimen masih tidak dibenarkan untuk bersidang,” katanya.
Mazlan juga berkata pembentukan kerajaan perpaduan adalah pilihan lebih baik dari mewujudkan Mageran.
“Kerajaan perpaduan akan merangkumi parti pemerintah dan pembangkang serta semua orang akan bekerjasama memerangi wabak itu. Ini dapat diadakan selama dua tahun sehingga pilihan raya umum seterusnya,” katanya.
Mazlan mencadangkan agar kerajaan perpaduan termasuk pemimpin seperti veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin PKR Anwar Ibrahim, bekas perdana menteri Najib Razak dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pilihan raya umum dapat diadakan sekiranya negara ini dapat mengawal wabak, katanya.
Pakatan Harapan semalam menolak idea Mageran dengan mengatakan bahawa Parlimen harus dibuka semula dengan segera berdasarkan prinsip demokrasi.
Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan perintah darurat sehingga 1 Ogos agar kerajaan dapat menumpukan perhatian bagi memerangi wabak berkenaan.
Pembangkang bagaimanapun mendakwa Muhyiddin menggunakan darurat untuk kekal berkuasa apabila Parlimen dan DUN perlu ditangguhkan semasa darurat. – 12 Jun, 2021.