Rakyat Malaysia makin gemuk waktu pandemik
Iklan
WONG, pekerja sosial berusia 45 tahun, mengaku mula makan banyak ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.
“Saya rasa macam tak henti-henti sumbat makanan dalam mulut,” kata penduduk Shah Alam yang kini berat badan mencecah 123 kg.
Tertekan, bosan di rumah atau murung, ramai rakyat Malaysia mula makan banyak ketika pandemik dan penguatkuasaan sekatan pergerakan, sehingga menjejaskan kesihatan, kata pakar pemakanan dan diet.
Ramai juga jadi sihat dengan memilih makanan dimasak di rumah, sementara yang lain bergantung kepada penghantaran makanan segera atau makanan dari restoran.
Pakar pemakanan dan pakar diet yang memerhati trend ini berkata makan tanpa henti di rumah untuk menghilangkan tekanan atau kebosanan turut berlaku.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr Tee E Siong berkata perbezaan corak pemakanan rakyat Malaysia sering bergantung pada sosio-ekonomi.
Selalunya tabiat makan makanan sihat merosot dalam kalangan miskin bandar yang kebanyakannya memakan makanan tidak seimbang, kadang-kadang tidak ada daging atau protein kerana masalah ekonomi disebabkan oleh sekatan pergerakan.
Beliau turut memerhatikan pola pemakanan golongan berpendapatan sederhana. Walaupun ada yang memasak di rumah dan mengamalkan penyediaan makanan yang sihat, namun ada yang bergantung pada penghantaran makanan atau makanan di restoran.
“Jika ini (tabiat makan makanan yang dipesan atau dihantar) diamalkan untuk jangka masa panjang, sukar untuk pilih makanan sihat,” kata Tee kepada The Malaysian Insight.
“Kebergantungan pada diet tinggi lemak, tinggi karbohidrat ditambah dengan kurangnya aktiviti fizikal semasa PKP akan menyebabkan berat badan naik selain obesiti.”
Obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, masalah jantung dan barah selalunya tinggi dalam golongan berpendapatan sederhana, tambah Tee.
Lidah rakyat Malaysia, pada umumnya, lebih suka makanan enak yang tinggi lemak dan gula, malah sejak sebelum pandemik, kata pengurus diet di Hospital Thomson Kota Damansara, Ho Shiau Fen.
Beliau memberi amaran agar tidak makan gelojoh bagi mereka yang berdepan beban kerja tinggi, diberhentikan kerja atau gaji dipotong.
“Tekanan meningkatkan pengambilan makanan berlemak, tinggi gula dan juga makan berlebihan. Makanan yang tinggi lemak dan gula sering terasa seperti ‘makanan selesa’ kerana perasaan itu boleh mengatasi tindak balas emosi berkait tekanan.
“Cari cara lain untuk lepaskan tekanan seperti bercakap dengan rakan, berjalan-jalan, dengar muzik, atau dapatkan bantuan profesional jika perlu,” katanya.
Bagi mereka yang mempunyai bajet kecil, Ho memberikan petua pilihan lebih sihat di pasar atau kedai runcit.
“Beli makanan segar atau kurang diproses kerana ia lebih murah daripada makanan proses atau dalam tin.
“Memandangkan harga minyak masak naik baru-baru ini, pilih kaedah memasak rendah lemak.
“Guna sedikit saja minyak ketika memasak untuk jimatkan wang. Anda akan dapat menikmati makanan lebih sihat pada masa sama,” katanya.
Memasak dan menanam sayur di rumah juga antara alternatif yang lebih murah dan sihat, kata Ho. – 13 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.