Iklan

Kerajaan pertimbang beri elaun kepada sukarelawan, kata Adham

Ragananthini Vethasalam3 years ago14th Jun 2021Berita
Workers vaccine 080621 tmiseth 02
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kementerian menyambut baik hasrat untuk memberikan insentif kepada sukarelawan yang membantu kementerian untuk memerangi wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Jun 2021.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan sedang mempertimbang untuk memberi elaun kepada sukarelawan perubatan yang membantu kerjaaan membendung Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Ini berikutan terdapat aduan bahawa sukarelawan perubatan ini tidak menerima sebarang bentuk imbuhan.

“Kementerian Kesihatan menyambut baik hasrat memberi insentif berupa elaun/imbuhan kepada sukarelawan yang membantu KKM memerangi pandemik Covid-19.

“Ini boleh berupa elaun sebagaimana yang diberi kepada sukarelawan yang membantu di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. Perkara ini sedang  disusuli oleh KKM, ” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Adham berkata, sukarelawan ketika ini tidak diberi sebarang elaun, kecuali mereka yang ditempatkan di pusat vaksinasi.

Sebanyak RM147 juta diperuntukkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada sukarelawan yang membantu di pusat vaksinasi.

Pada 27 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sukarelawan seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian, penolong pegawai perubatan, jururawat dan juruteknik makmal diperlukan.

Namun, dalam pada masa yang sama sukarelawan ini tidak akan menerima apa-apa bentuk imbuhan untuk pekerjaan mereka, termasuk pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan elaun.

“Semua kos selama perkhidmatan sukarelawan harus ditanggung oleh pemohon,” katanya.

Keperluan kakitangan tambahan

Sementara itu, Dr Adham juga berkata, kementerian sudah mengambil langkah proaktif untuk memenuhi keperluan kakitangannya susulan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ini termasuk pertambahan bilangan anggota kesihatan melalui perlantikan tetap dan kontrak, pengambilan sukarelawan serta mobilisasi anggota kesihatan secara dalaman dan luaran ke negeri-negeri yang terjejas teruk.

“KKM sentiasa cakna akan keperluan tenaga kerja terlatih terutamanya dalam memberi rawatan kritikal,” katanya.

Oleh itu, Dr Adham berkata perubahan tertentu dilakukan di hospital yang melihat peningkatan kes baharu dan menghadapi masalah tenaga kerja.

“Anggota-anggota yang baru dilantik secara kontrak atau yang baru ditempatkan di kawasan kritikal seperti ICU telah diberi latihan singkat dan pantas (rapid training) bagi memenuhi keperluan mendesak tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Rapid training ini menggunakan buddy system/mentor-mentee supaya latihan dan kemahiran anggota dapat dipantau secara berterusan,” katanya.

Katanya, kakitangan yang dilatih untuk mengendalikan kes ICU dikerahkan ke beberapa hospital yang memerlukan tenaga kerja tambahan seperti Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, (HPKK), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ I) dan Hospital Sibu.

Beliau berkata kementerian juga sudah mengubah norma kerja di mana satu kakitangan akan ditugaskan lapan pesakit dan bukan empat, seperti yang dilakukan sebelum ini.

Adham berkata agensi lain seperti hospital swasta, hospital universiti, hospital tentera dan NGO juga membantu memenuhi keperluan sumber manusia kementerian.

Angka pesakit yang dirawat ICU mencatat rekod tertinggi setiap hari sejak 6 Mei lalu.

Terdapat 917 pesakit di ICU semalam manakala sebanyak 657,508 kes aktif dilaporkan setakat ini. – 14 Jun, 2021.

Iklan
Iklan