Hampir 60,000 kes Covid-19 serius sejak April, kata Adham
Iklan
SEBANYAK 59,895 kes Covid-19 Kategori 4 dan 5 dilaporkan dari April 2021 hingga 13 Jun, mengakibatkan 1,413 kematian, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.
Kedua-dua kategori ini adalah tahap jangkitan virus paling teruk yang menyaksikan pesakit memerlukan rawatan rapi dan bantuan oksigen.
Adham berkata dalam tempoh 13 hari pertama bulan ini, sebanyak 22,857 kes Kategori 4 dan 5 dilaporkan, yang merupakan 30.8% daripada jumlah keseluruhan kes 74,254 dalam tempoh tersebut. Terdapat 562 kematian bagi kategori ini dalam tempoh berkenaan.
Beliau menambah hanya 6,751 kes dalam kategori ini dilaporkan di seluruh negara pada April 2021, dan jumlahnya kemudian meningkat menjadi 30,287 kes pada Mei.
Bagi tempoh April hingga 13 Jun ini, jumlah kes Covid-19 adalah 301,111 dan kes daripada dua kategori ini sebanyak 59,895, atau 19.9%, katanya pada sidang media hari ini.
Kematian di kalangan pesakit dalam kategori ini pula, terdapat 146 kematian pada April dan 705 pada Mei.
Beliau juga berkata antara Mac 2020 hingga 13 Jun, jumlah kes Kategori 4 dan 5 berjumlah 104,122.
Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19 iaitu 1 adalah kes positif tanpa gejala, 2 adalah kes positif dengan gejala ringan, 3 adalah kes positif dengan radang paru-paru, 4 adalah kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan 5 adalah kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, daripada 1,767 katil ICU di seluruh negara, sebanyak 1,161 kini digunakan untuk merawat pesakit.
Menurut laporan epidemiologi mingguan Kementerian Kesihatan, 914 kes ICU dengan 459 memerlukan sokongan ventilator dilaporkan minggu lalu.
Sebanyak 553 kematian dilaporkan dengan purata 79 kematian sehari.
Terdapat 41,630 kes baharu dengan purata 5,947 kes dilaporkan sehari bagi tempoh yang disama. – 14 Jun, 2021.