Pengusaha bas sekolah rayu moratorium pinjaman kenderaan
Iklan
PENGUSAHA bas sekolah merayu agar Putrajaya membantu mereka mendapatkan moratorium pinjaman kenderaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaharu bagi mengekang wabak Covid-19.
Mereka berkata moratorium pinjaman dalam bidang kuasa institusi kewangan yang berada di bawah Kementerian Kewangan.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata kebanyakan ahlinya mempunyai pinjaman dengan organisasi yang bukan berada di bawah Kementerian Kewangan.
“Sebanyak 95% pinjaman bas sekolah di bawah syarikat kredit yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan, beberapa di antaranya didaftarkan dengan pemberi pinjaman wang berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Beberapa syarikat kenderaan yang menjual bas memberikan pinjaman sendiri. Sebagai contoh, Toyota menjual van dan ia di bawah kredit Toyota tetapi tidak didaftarkan dengan Kementerian Kewangan atau KPKT, hanya di bawah SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia),” katanya.
Beliau berkata bayaran bulanan bagi van baharu sekitar RM1,800 dan bas baharu kira-kira RM8,000, katanya.
Memandangkan sekolah ditutup, mereka tidak dapat menjana pendapatan dan moratorium pinjaman akan membantu meringankan beban ahli.
Di bawah pakej Pemerkasa PLUS bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata moratorium pinjaman tiga bulan akan diberikan kepada kumpulan B40 dan mereka yang hilang pekerjaan.
Ia juga termasuk untuk perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
Amali berkata lebih 80% pengusaha bas sekolah adalah pemilik syarikat bas mereka, oleh itu tergolong dalam kategori PKS yang layak mendapat moratorium.
Berkenaan dengan bantuan kerajaan lain, Amali berkata kebanyakan pengusaha bas minggu lalu menuntut dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sebanyak RM1,000 daripada RM1,500 yang mereka berhak terima bagi PKS mikro berdaftar di bawah SSM.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata PKS yang layak akan menerima pembayaran sebanyak RM1, 000 mulai 10 Jun secara berperingkat di bawah Geran Khas Prihatin ke-3 (GKP 3.0).
Selain itu, pengusaha bas secara individu juga layak mendapat bantuan kewangan sekali bayar sebanyak RM500 di bawah pakej Permerkasa PLUS, dengan bantuan akan diberikan kepada penerima berdaftar pada Julai.
“Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat sekarang ditutup di bawah PKP dan tiada yang memproses dan mengagihkan wang itu kepada kami. Bantuan RM500 ini masih tertangguh.”
Beliau menambah yang jumlah bantuan diperuntukkan oleh Putrajaya tidak membantu 15,000 pengusaha bas sekolah di Malaysia.
“Kerajaan hanya memberi RM2,000 selama dua bulan, kami tidak cukup untuk membayar ansuran kenderaan. Bagaimana dengan makan, bil air dan elektrik kami?” – 17 Jun, 2021.