Iklan

Antara pelan 4 fasa Muhyiddin dan 12 strategi Anwar 

Hailey Chung Wee Kye3 years ago16th Jun 2021Berita
Kl aerial view during lockdown june 08 2021 tmi afif 03
Apabila diletak sebelah menyebelah, cadangan mereka untuk membawa negara kembali normal kelihatan sangat berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.
Iklan

PERDANA menteri dan individu yang mahu menggantikannya masing-masing telah mengumumkan strategi memerangi Covid-19 dan krisis ekonomi minggu ini.

Pada 14 Jun, Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim melancarkan strategi 19 muka suratnya untuk mengatasi masalah berkaitan Covid-19 yang dihadapi negara bersama dengan perbincangan secara langsung di Facebook dengan orang ramai.

Sehari kemudian, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membaca pelan 11 muka suratnya mengenai rancangan kerajaan yang dikatakan berdasarkan “data dan sains” dalam perutusan khas secara langsung melalui televisyen.

Apabila diletak sebelah menyebelah, cadangan mereka untuk membawa negara kembali normal kelihatan sangat berbeza.

The Malaysian Insight melihat kedua-dua pendekatan mereka.

Kadar vaksinasi

Muhyiddin berkata untuk Fasa Satu perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh beralih ke Fasa Dua, 10% penduduk perlu divaksinasi.

Untuk beralih ke Fasa Tiga, beliau berkata sekurang-kurangnya 40% penduduk perlu divaksinasi, manakala bagi Fasa Empat, 60% vaksinasi perlu dicapai.

Seiring dengan matlamatnya, beliau menambah Fasa Empat mungkin akan bermula pada penghujung Oktober.

Beliau juga yakin jumlah suntikan akan meningkat kepada lebih 300,000 dos sehari dalam beberapa bulan.

Bekalan vaksin juga akan meningkat sebanyak 16 juta dos pada akhir Julai ini, kata Muhyiddin.

Bagi Anwar pula, beliau berkata senario terbaik adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memvaksinasi 65% penduduk pada akhir 2021 dengan sekurang-kurangnya dos pertama diberikan.

Katanya, berdasarkan realiti sekarang, Malaysia hanya dapat mencapai tahap 40% pada akhir tahun berdasarkan pengiraan tinjauan semasa.

Dengan keterbatasan vaksin, beliau mencadangkan agar program vaksinasi disasarkan sesuai dengan kawasan yang diutamakan.

Juga, untuk kerajaan mempercepat kadar vaksinasi dengan memberikan dos pertama kepada seramai mungkin rakyat.

Anwar meramalkan jika pelan vaksinasinya dilaksanakan, kes harian akan menurun hingga 500 kes menjelang Disember.

Keberkesanan PKP penuh

Muhyiddin berkata pelaksanaan Fasa Satu PKP penuh sejak 1 Jun telah membantu negara ini “mengelak daripada bencana” dengan trend menurun kes jangkitan Covid-19.

Katanya, 4,949 kes yang dicatatkan pada Selasa menurun berbanding 9,020 kes pada 29 Mei, yang merupakan hari di mana Malaysia menyaksikan jumlah kes Covid-19 paling tinggi.

Sebaliknya, Anwar berkata kes-kes harian yang dilaporkan kurang daripada yang sebenarnya.

Beliau berkata, lebih daripada 10% kes tidak dilaporkan dan banyak kes dikesan dan dilaporkan lewat, lebih kurang tiga hingga tujuh hari.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ada data yang tidak lengkap, selain menambah apa yang diramalkan dari data yang tersedia adalah gelombang baharu yang kemungkinan akan berlaku selepas Jun.

Pemulihan ekonomi

Tindakan empat fasa Muhyiddin bergantung pada tiga indikator:

  1. jumlah kes harian Covid-19;
  2. keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU); dan,
  3. peratusan populasi yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Hanya apabila ketiga-tiga faktor tersebut menunjukkan tanda-tanda positif, barulah sektor ekonomi dapat dibuka secara beransur-ansur, katanya.

Anwar, sebaliknya, memecahkannya kepada 12 strategi dengan tindakan yang diperlukan untuk pelbagai jabatan: kesihatan, kesihatan masa depan, isi rumah, industri, pendidikan, penciptaan pekerjaan, ekonomi jangka pendek, ekonomi mahir, pelaburan asing, politik, masyarakat dan terakhir, dasar berasaskan data.

Kesemua 12 strategi itu juga telah disusun dengan tiga jenis kesegeraan: sekarang, segera dan penting.

Tambah Anwar, pusat arahan dan kawalan serta bilik situasi akan ditubuhkan di peringkat daerah, negeri dan negara. – 16 Jun, 2021.

Iklan
Iklan