Sudah sampai masa lenyapkan label 'anti-Muslim' DAP
Iklan
Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia? Kalangan pengundi sering mengeluh kerana melihat tidak ramai pemimpin muda yang berwibawa baik dalam parti kerajaan pemerintah mahupun pembangkang. Malah ada di kalangan pemimpin utama parti ini sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight mendekati muka baru dan ahli politik muda yang dipersiapkan oleh parti mereka untuk bertanding sebagai calon.
APABILA aktivitis Edry Faizal Yusof memutuskan untuk menyertai DAP, beliau sedar akan berdepan persepsi dari masyarakat Melayu bahawa parti itu akan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
“Menyertai DAP adalah perkara yang berbeza sama sekali bagi orang Melayu… ia tidak seperti apabila anda memilih untuk menyertai PAS atau PKR,” kata pemuda berusia 33 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
“Tindakan itu (dianggap) seolah-olah seperti menukar agama; anda menjadi murtad.”
Edry menyertai DAP pada 2012 selepas yakin dengan penyelidikannya bahawa ideologi politik parti itu melampaui segala retorik.
“Itulah sebabnya saya terkejut apabila orang kata DAP mahu membentuk negara Kristian. Kerana sejak saya menjadi ahli parti, tiada perbincangan mengenai perkara ini. Malah idea membentuk negara Kristian itu sendiri tidak masuk akal.”
Katanya, beliau sudahpun bersiap sedia untuk menerima kecaman daripada rakan-rakan dan keluarganya apabila mengumumkan keputusannya menyertai parti itu.
Edry berkata, beliau bernasib baik kerana ibu bapanya tetap menyokong dan meyakini keputusannya.
Tetapi tidak semua rakan seperjuangannya yang berbangsa Melayu menerima pengertian yang diperolehinya daripada keluarga mereka.
“Selepas saya menyertai DAP, beberapa rakan yang ikut jejak langkah saya terpaksa menggunakan alamat saya kerana tidak mahu surat dihantar ke rumah mereka.
“Terdapat satu kes di mana rakan saya tidak dibenar keluar rumah selama seminggu apabila keluarga menerima surat (parti).
“Itu reaksi biasa, tetapi ibu bapa saya percaya keputusan saya,” katanya.
Hari ini, label “anti-Muslim” yang menghantui parti sejak beberapa dekad lalu semakin terhakis sedikit demi sedikit di kalangan orang Melayu.
Ahli Majlis Perbandaran Selayang itu berkata, perubahan itu kebanyakannya ekoran peningkatan jumlah keahlian orang Melayu dalam DAP.
Parti itu juga giat menjalankan usaha untuk menghilangkan prasangka kaum dan agama yang disebarkan oleh lawan politiknya, kata Edry.
“Saya banyak belajar sejak menyertai parti. Program yang diadakan parti sentiasa berorientasikan polisi, kami membincangkan cara menyelesaikan masalah seperti isu mobiliti sosial, pengangkutan awam,” katanya.
“Kami adalah parti berasaskan polisi, kami mencari cara untuk menyelesaikan masalah.”
Penyanyi rap, aktivis, ahli politik
Kesedaran politik dan aktivisme sering menarik minat Edry, yang fasih bertutur dalam bahasa Cina.
Ketika berusia 18 tahun, Edry membentuk kumpulan rap dengan nama “5forty2” yang menyuntik mesej politik ke dalam lagu mereka.
“Semakin dewasa, cara kami melihat dunia turut berubah.
“Kami mula menyentuh isu-isu serius, seperti bagaimana media digunakan sebagai alat propaganda, konflik Palestin, pertarungan antara yang ditindas dan penindas… lagu-lagu kami adalah mengenai kebimbangan terhadap dunia,” katanya.
Edry kini bekerja sebagai penyelaras untuk Sekolah Demokrasi DAP. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa DAP Selangor dan ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Subang, selain memegang peranan penyelaras bagi kawasan Taman Templer di Selayang, Selangor.
DAP secara tradisinya menurunkan penyelaras kawasan sebagai calon dalam pilihan raya umum dan kini cakap-cakap sudah mula timbul bahawa graduan multimedia kreatif ini mungkin akan bertandingdi DUN Taman Templer
Pada 2013, penyandang Zaidy Abdul Talib daripada PAS memenangi Taman Templer dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Subahan Kamal dan calon bebas Roslan Basaruddin.
Kerusi DUN di bawah kerusi Parlimen Selayang, mempunyai 51% pengundi Melayu, diikuti oleh 35% Cina dan 13% India.
Edry berkata beliau sudah mempersiapkan diri untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, yang perlu dibuat menjelang Jun, walaupun masih tidak pasti sama ada beliau akan dipilih sebagai salah seorang calon.
“Sejak awal ketika saya memutuskan untuk menyertai dengan parti, ia bertujuan untuk memberi sumbangan. Jadi, saya tidak kisah jika mereka tidak memilih saya.
“Jika mereka mahu saya bertanding untuk pilihan raya, saya akan melakukannya. Jika tidak, saya akan membantu dengan berkempen.
“Sebagai calon atau pengurus kempen, saya sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata walaupun mengutamakan tugasnya dalam politik, beliau masih berpeluang menyaksikan persembahan muzik sekali-sekala.
Tambahnya kumpulannya akan menerbitkan lagu baru sebelum pilihan raya.
“Saya boleh menjadi rapper dan ahli politik pada masa yang sama,” katanya mengulas tugasnya yang pelbagai. – 13 Januari, 2018.