Pelan pemulihan Covid-19 Putrajaya tak cukup jelas, kata kumpulan industri
Iklan
PELAN Pemulihan Negara yang diumumkan pada Selasa lalu tidak memperinci secara jelas apakah strategi kerajaan untuk membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19, kata kumpulan industri.
Menurut mereka, pengumuman Putrajaya itu tidak lebih sekadar “laporan” biasa, bukan penjelasan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong menyifatkan pelan pemulihan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu mengecewakan.
“Bagi saya itu bukannya pelan, hanya sekadar laporan malah tidak jelas. Perdana menteri kata pelan pemulihan, tapi apa pelannya?
“Sesuatu pelan bermaksud apa yang perlu kita buat supaya ia berjaya. Tetapi ini cuma rancangan petunjuk (indicative plan), nampak bagus tetapi begitu mengecewakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara berkata, Fasa Pertama kepada Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan dilakukan apabila purata kes harian Covid-19 kurang 4,000 kes.
Peralihan itu juga apabila kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10% populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin, yang dijangkakan pada Julai.
Mengulas perkara ini, Chin berkata kerajaan sepatutnya menjelaskan secara terperinci langkah-langkah untuk mencapai sasaran tersebut.
“Adakah sasaran 10% populasi terima dua dos vaksin pada Julai atau Ogos akan tercapai? Tiada siapa yang tahu.”
Tambahnya, ahli-ahli persatuan sektor makanan dan minuman memberi maklum balas negatif ketika pelan pemulihan itu diumumkan. Ramai antara mereka bimbang perniagaan tidak mampu bertahan sehingga ekonomi dibuka sepenuhnya semula, kata Chin.
Menurutnya, kerajaan perlu membenarkan pelanggan makan di premis makanan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat seawal Fasa Dua pelan pemulihan; dan pusat hiburan termasuk penggung wayang dibuka semula pada Fasa Tiga, iaitu apabila 40% populasi sudah lengkap divaksin dan angka harian kurang 500 kes.
Bagaimanapun, pembukaan penuh termasuk sektor sosial hanya dibenarkan apabila pelan pemulihan masuk ke Fasa Empat yang dijangka pada November.
“Benarkan sebahagian sektor ekonomi dibuka. Kalau orang ramai sudah divaksin, benarkan mereka makan di restoran, barulah ekonomi hidup semula. Ini antara langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan kerana inilah yang dilakukan oleh negara-negara lain,” jelasnya.
Chin menjangkakan negara rugi lebih RM1 bilion sehari akibat pelaksanaan PKP penuh.
“Jumlah sebenarnya mungkin lebih besar, tetapi RM1 bilion sahaja pun sudah terlalu banyak.
“RM1 bilion sehari selama enam bulan. Masuk hujung tahun nanti bagaimana kita hendak tampung kerugian ini? Apakah rancangan kerajaan untuk bantu kami?” soalnya.
Angka kes harian petunjuk lemah
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC) Shaun E Cheah berkata, angka kes harian Covid-19 bukanlah petunjuk sesuai bagi pembukaan semula ekonomi.
“Jumlahnya tidak tepat dan bukan petunjuk yang baik kerana jumlah kes yang tinggi di Selangor misalnya disebabkan oleh ujian saringan besar-besaran.
“Petunjuk terbaik ialah berdasarkan kadar kes positif, malah kadar penggunaan katil di ICU juga tidak boleh dijadikan petunjuk. Apa maksud sebenar ‘paras sederhana’?,” kata Cheah kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga berpandangan Pelan Pemulihan Negara tidak cukup jelas dan tiada perincian SOP bagi setiap fasa. – 18 Jun, 2021.