Iklan

74 maut, 894 di ICU ketika kes naik kepada 6,440

Ragananthini Vethasalam3 years ago18th Jun 2021Berita
Covid-19 funeral 20210614 tmihasnoor 002
Dr Noor Hisham berkata 74 pesakit yang maut akibat koronavirus hari ini melonjakkan jumlah kematian menjadi 4,276. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Jun, 2021.
Iklan

KES-KES di unit rawatan rapi (ICU) mengalami penurunan buat hari kedua hari ini dengan 894 pesakit Covid-19 menerima rawatan kritikal dalam 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dari jumlah ini, 451 pesakit diberikan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata 74 pesakit yang maut akibat koronavirus hari ini melonjakkan jumlah kematian menjadi 4,276.

Negara juga melaporkan 6,440 kes Covid-19 baharu dalam 24 jam lepas, menjadikan angka keseluruhan 685,204.

Semalam, jumlah kes di ICU menurun setelah 40 hari berturut-turut mencatatkan trend menaik.

Jumlah kes ICU turun dari rekod tertinggi 924 kes pada Rabu kepada 909 semalam dan menurun lagi hari ini kepada 894.

Dr Noor Hisham berkata kes yang telah pulih terus mengatasi kes baharu setelah 6,861 orang dilaporkan pulih dari Covid-19.

Dengan jumlah ini, menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih kini 615,326.

Sebaliknya, kes aktif menurun kepada 65,602 daripada 66,097 semalam.

Terdapat enam kes kematian di luar hospital (Brought in Dead/BID) hari ini. Lima daripadanya tidak ada rekod sejarah kesihatan sementara seorang mempunyai sejarah diabetes dan tekanan darah.

Mangsa paling muda hari ini adalah wanita berusia 29 tahun, yang BID di Labuan. Status kesihatan si mati tidak diketahui.

Covid-19 juga meragut nyawa pesakit barah berusia 91 tahun yang meninggal dunia di Hospital Jelebu di Negeri Sembilan. Dia mangsa paling tua dilaporkan hari ini.

Selangor menyaksikan jumlah kematian tertinggi dengan 28 kes diikuti Sarawak dan Johor dengan masing-masing tujuh kes.

Sabah melaporkan enam kes, Labuan melaporkan lima dan Kuala Lumpur empat kes.

Melaka melaporkan tiga, manakala Pahang mencatatkan dua kematian.

Perak, Terengganu dan Kedah masing-masing melaporkan satu kes. – 18 Jun, 2021.

Iklan
Iklan