Menjelang PRU14, pembangkang berdepan lebih banyak serangan
Iklan
PENGANALISIS dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) percaya tindakan agensi pencegah rasuah memperhebatkan siasatan terhadap parti pembangkang baru-baru ini mungkin satu taktik intimidasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pengarah syarikat dan menyerbu beberapa agensi kerajaan Pulau Pinang dalam siasatan ke atas tiga projek lebuh raya negeri serta pembangunan terowong dasar laut.
Kes ini mencetuskan kebimbangan bahawa pemimpin dan negeri PH dikuasai oleh pembangkang akan terus disiasat, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.
“Kita semua tahu ini adalah tahun pilihan raya. Tindakan SPRM terhadap projek terowong itu boleh digambarkan sebagai tindakan intimidasi terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.
Lim juga merupakan setiausaha agung DAP, yang mentadbir Pulau Pinang sejak PRU 2008.
“Seperti biasa, perkara seperti ini akan menjadi bahan kempen bagi pilihan raya dalam media arus perdana. Matlamatnya adalah untuk mengalihkan sokongan rakyat daripada PH di Pulau Pinang,” kata Hisommudin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam satu kenyataan pada Khamis secara tidak langsung menunjukkan kepada kemungkinan bahawa lebih ramai lagi akan ditahan berhubung siasatan itu.
Menurut Azam, ia bergantung kepada dokumen dan kenyataan saksi yang diperoleh dalam siasatan berkenaan.
Difahamkan, SPRM sedang mencari dokumen berkaitan kontrak kajian kebolehlaksanaan terowong projek terowong dan pembayaran pertukaran tanah kepada syarikat peneraju projek tersebut oleh kerajaan negeri.
Kerajaan negeri sejak awal menjelaskan ia tidak membayar apa-apa kepada syarikat bagi kajian kebolehlaksaan berkenaan
Bayaran RM208 juta untuk EIA (penilaian kesan alam sekitar) yang diluluskan untuk tiga lebuh raya tersebut dibuat secara pertukaran tanah.
Lim juga berdepan tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran beberapa tahun lepas. Perbicaraan bermula pada Mac.
Mengalih perhatian
DAP dan kerajaan Pulau Pinang bukan satu-satunya parti pembangkang yang disiasat SPRM.
Presiden Warisan, Shafie Apdal, adik beradiknya dan semua pemimpin parti disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion yang diperuntukkan bagi projek pembangunan luar bandar negeri itu semasa Shafie memegang portfolio menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.
Pentadbiran Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali juga tidak terkecuali apabila SPRM menangkap dan menahan empat orang, termasuk anak saudara Azmin, pada November lepas berhubung siasatan kes perlombongan pasir secara tidak sah di Kajang.
Suspek dalam kes bermula tahun 2014 itu didakwa telah merasuah pegawai kerajaan tempatan.
Hisommudin berkata siasatan itu dilihat cuba untuk mengalih perhatian daripada skandal lain seperti kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak.
Bulan lepas, tanah seluas 66,000 meter persegi di Kuala Lumpur, bernilai RM270 juta itu dilaporkan dipindah milik dengan cara diragui oleh sebuah syarikat yang diberi kuasa Felda.
“Kes besar seperti itu memerlukan SPRM lebih serius dan cekap. Setakat ini, isu besar ini tidak menimbulkan tekanan kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad.
“Hasilnya, kes terowong itu kelihatan seperti tindakan oleh parti pemerintah untuk memberi tekanan terhadap pentadbiran DAP yang dipimpin oleh DAP,” kata Hisommudin.
Ketua Naib Ketua Pemuda PH, Faiz Fadzil menyuarakan sentimen sama. Katanya, tokoh pembangkang kini disiasat sedangkan “isu rasuah sebenar dan yang jelas dilakukan oleh pemimpin Umno dan kroni mereka” seolah-olah distutup.
Beliau memberi contoh, skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.
“Adakah SPRM sangat lemah sehingga tidak dapat mencium rasuah dalam 1MDB dan skandal Felda apabila semua fakta jelas menunjukkan unsur rasuah?”
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula berpendapat, usaha mencemar imej dan kemampuan PH adalah satu-satunya cara untuk Perdana Menteri Najib Razak memujuk pengundi agar terus menyokong kerajaan.
“Beliau hanya boleh melakukan ini dengan memainkan cerita: PH dan BN adalah korup, jadi jangan lepaskan BN kerana PH juga bukan malaikat,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.
Kredibiliti SPRM
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong berkata serbuan dan penangkapan pemimpin dan parti pembangkang itu tidak membantu untuk memperbaiki imej SPRM.
“Tindakan mereka dilihat sebagai meneruskan agenda politik Umno.
“Ia akan memberi gambaran bahawa (SPRM) cuba membantu Umno menguatkan persepsi bahawa kerajaan Pulau Pinang rasuah, Warisan rasuah dan begitu juga dengan Azmin,” katanya.
Faiz berkata SPRM “nampaknya lebih terlibat dalam politik, dalam konteks menutup kesalahan pemimpin Umno”.
Penganalisis bebas Khoo Kay Peng berkata semua parti, sama ada dari kerajaan atau pembangkang, harus menjawab terhadap tuduhan rasuah dan salah laku.
Namun SPRM tidak konsisten dalam tindakannya menyebabkan rakyat menuduh suruhanjaya itu bertindak di bawah tekanan politik, katanya.
“Sekiranya berlaku rasuah, mereka harus disiasat, tidak kira pembangkang atau sebaliknya. Begitu juga untuk projek-projek yang berkaitan dengan kerajaan,” kata Khoo.
“Tetapi ia tidak konsisten. Sebagai contoh, lihat sahaja perjalanan siasatan kes 1MDB. Tiada apa-apa berlaku, tetapi (1MDB) terus kehilangan wang dan menjejaskan negara,” katanya.
Tambahnya, oleh itu agensi penting seperti SPRM perlu bertindak adil dan juga dilihat adil dan bebas. – 13 Januari, 2018.