PKP tekan keluarga dengan anak keperluan khas
Iklan
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) amat menekan keluarga dan individu berkeperluan khas kerana merencat perkembangan mereka apabila tidak dapat menghadiri rawatan terapi secara bersemuka.
Rawatan secara dalam talian tidak banyak membantu individu keperluan khas tersebut, kerana kanak-kanak ini sukar menyertai program seperti itu, kata penjaga ini.
Seorang ibu, Bibi Zafirah Hanfa Badil Zaman memberitahu The Malaysian Insight, kawalan itu menyebabkan perkembangan anaknya berusia 6 tahun yang mengalami autisme terjejas teruk.
“Saya tidak boleh nafikan perkembangan anak saya merundum sepanjang pandemik ini kerana saya tidak dapat mengekalkan konsistensi terapi seperti yang dijalankan di pusat terapinya.
“Dia tidak dapat menghadiri terapi percakapan dan terapi cara kerja secara fizikal sebaliknya hanya dijalankan melalui kelas online. Ia tidak membantu perkembangannya,” katanya.
Seluruh sesi terapi itu dijalankan secara dalam talian sejak PKP dikuatkuasa semula pada awal tahun ini.
Bibi, 36, berkata kelas online memang bermanfaat tetapi tidak sebaik kelas fizikal terutamanya bagi kanak-kanak berkeperluan khas seperti anaknya.
Jelasnya, kelas fizikal membantu fokus anaknya dengan aktiviti tenaga empat kerat atau dipanggil gross motor dalam terapi itu.
“Anak saya tidak boleh duduk untuk jangka masa lama dan pelbagai aktiviti ‘gross motor’ perlu dijalankan bagi membolehkan dia duduk dan memberi tumpuan.
“Selain itu, sebagai ibu bapa yang bekerja, saya mempunyai jadual kerja sendiri sebagai pensyarah dan ia kadang kala bertembung dengan kelas online anak.
“Saya tidak boleh biarkan dia duduk di kelas online sendiri seperti kanak-kanak normal lain sebaliknya semua aktiviti perlu dilakukan bersama,” katanya.
Bibi berkata selain sukar menumpukan kepada kelas online, anaknya juga mengalami masalah pergaulan untuk bergaul dengan rakan.
Oleh itu terapi fizikal yang memberi peluang kepada anaknya berjumpa dengan rakan sekelas menjadi satu cara untuk melancarkan percakapannya.
Seorang lagi ibu, Nancy Liew berkata, anak lelakinya yang berusia 11tahun mengalami hyperaktif dan autisme dan sukar menyesuaikan diri dengan amalan baharu sewaktu pandemik.
Ia menyebabkan anaknya Ian terpaksa berkurung di rumah sedangkan individu mengalami Spektrum Gangguan Autisme (ASD) itu amat tegas dengan rutin harian.
“Tiada penjelasan yang boleh membuatkan anak saya faham tentang situasi yang sedang berlaku ketika ini,” katanya.
Menurut pakar, individu dengan ASD lazimnya mempunyai masalah deria dan sering melakukan pergerakan berulang kali selain sukar menerima perubahan apabila mereka sudah terbiasa dengan rutin harian.
Perubahan mendadak juga sukar diterima golongan istimewa ini dan gangguan terhadap rutin boleh menyebabkan masalah kerana rutin itu salah satu cara mereka berdikari.
Individu seperti Ian biasanya akan menghadiri kelas vokasional dan sukar menerima perubahan mendadak pada rutin harian seperti kawalan PKP.
Oleh itu, Ian sering menunjukkan kerenah ketika di rumah, kata Nancy.
“Kami pernah mendengar pelbagai kisah daripada ibu bapa yang mempunyai anak autisme seperti merosakkan perabot, televisyen, tablet dan ada pula yang makan semua makanan.
“Tahap kreativiti dan kesabaran ibu bapa juga ada hadnya. Seperti Ian, dia sering berasa gelisah di rumah dan sukar untuk menenangkannya. Ada kalanya dia menjerit berterusan,” kata Nancy.
Nancy dan ibu bapa lain berkongsi kisah anak istimewa mereka dan masalah dalam menghadapi PKP ini dalam komuniti Malaysia Autisme di Facebook.
Salah seorang pengikut laman itu berkata, anaknya sangat rindu membonceng motosikal manakala seorang lagi ibu memberitahu anaknya melukis gambar gurunya di sekolah kerana merinduinya.
Ada juga berkongsi kisah anak mereka yang sentiasa menyorok di dalam selimut kerana bimbang dengan Covid-19.
Selain itu, ibu bapa ini turut berkongsi petua dan panduan bagi menolong golongan istimewa ini seperti menjalankan permainan atau senaman serta sesi terapi di rumah.
Seorang pakar terapi intervensi awal untuk autisme, Jay Jay mengakui bukan mudah untuk mengajar kanak-kanak berkeperluan khas secara dalam talian.
“Ia juga bukan senang untuk ibu bapa terutamanya bagi mereka yang bekerja atau pekerja barisan hadapan.
“Namun kelas online saja satu-satunya cara untuk kanak-kanak ini kekal pada rutin harian mereka. Pada masa yang sama, mereka perlu dilindungi daripada virus Covid-19,” katanya.
Tambahnya, bantuan ibu bapa penting untuk membolehkan kanak-kanak ini menumpukan kepada kelas dalam talian.
“Biasanya kanak-kanak ini sukar untuk fokus terlalu lama pada skrin komputer atau laptop, namun dengan bantuan ibu bapa kadang kala ada yang mampu mengikuti kelas atas talian.
“Ia bergantung pada spektrum kanak-kanak itu,” katanya.
Seorang pengusaha pusat intervensi khas berkata, beliau mendapati PKP penuh itu memberi kesan kepada sebahagian besar ibu bapa dan kanak-kanak istimewa.
Wee Kim Leng yang mengusahakan pusat menumpukan kanak-kanak autisme, dysleksia dan hiperaktif, berkata, kebanyakan dari mereka sukar menyesuaikan diri dengan perintah kawalan.
“Ramai ibu bapa yang mengalah akibat sukar mengawal tantrum anak-anak ini yang berasa terkongkong di rumah.
“Kami mendapati hampir 70% kanak-kanak autisme yang menjalani terapi di pusat saya yang mengalami kesan kepada perkembangan diri ditambah lagi dengan tekanan akibat kelas online.
“Ketika kelas online, ibu bapa yang menjadi ahli terapi dengan bantuan pakar secara dalam talian, dan ia menambah tekanan kepada ibu bapa dan kanak-kanak itu sekali,” katanya.
PKP penuh yang berkuatkuasa selama dua minggu sejak awal bulan ini dilanjutkan lagi sehingga 28 Jun dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.
Dalam fasa kedua sepanjang Julai dan Ogos, lebih banyak aktiviti ekonomi akan dibenarkan namun sektor sosial akan kekal ditutup.
Seterusnya dalam fasa ketiga September dan Oktober, sektor sosial akan dibuka secara berperingkat.
Dalam dua bulan terakhir, seluruh sektor termasuk sektor sosial akan dibuka dalam fasa empat pemulihan.
Pelaksanaan pemulihan secara berfasa itu diumumkan berdasarkan kepada penurunan kes Covid-19, keupayaan hospital dan liputan vaksinasi. – 20 Jun, 2021.