Iklan

Vaksin mRNA dibangunkan Malaysia di peringkat pengklonan, kata Adham Baba

Ragananthini Vethasalam3 years ago21st Jun 2021Berita
49930316408 cc99a44606 o
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata vaksin yang sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan melalui ujian klinikal terhadap manusia dan haiwan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2021.
Iklan

VAKSIN RNA pengutus (mRNA) yang sedang dibangunkan oleh Malaysia kini berada di peringkat pengklonan, kata Dr Adham Baba.

Menteri Kesihatan itu berkata vaksin yang sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan melalui ujian klinikal terhadap manusia dan haiwan.

Pada 13 Jun lalu, Adham mengumumkan Malaysia sedang membangunkan dua jenis vaksin Covid-19. Selain vaksin jenis mRNA, Malaysia juga sedang membangun vaksin nyahaktif.

Setakat ini, hanya vaksin jenis mRNA dihasilkan Pfizer dan Moderna dibenarkan untuk kegunaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pfizer adalah satu-satunya jenis vaksin mRNA yang diluluskan untuk pendaftaran bersyarat di Malaysia buat masa ini.

Katanya peringkat pengklonan itu melibatkan virus asal Covid-19 dan varian lain dari SARS-CoV-2.

Tambah Adham, sebaik vaksin dibangunkan, ia perlu menjalani ujian praklinikal terhadap haiwan dan kemudiannya terhadap manusia, sebelum ia boleh dilulus dan dikeluarkan.

“Kami berada dalam proses di mana kami sedang berusaha untuk membuat ujian keberkesanan terhadap binatang kecil dan besar. Untuk percubaan pada manusia, ia mungkin ambil masa beberapa bulan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin.

“Kami dimaklumkan oleh IMR, pembangunan vaksin mRNA bermula pada November 2019.”

“Ini adalah kerjasama antara IMR dan UPM (Universiti Putra Malaysia),” katanya.

Beliau berkata penyelidikan itu dibiayai oleh Kementerian Kesihatan dan Mosti. – 21 Jun, 2021.

Iklan
Iklan