Dakwaan warga emas tidak diberi keutamaan vaksin tidak benar, kata Khairy
Iklan
KIRA-kira 65% atau 1.74 juta warga emas daripada 2.67 juta yang mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 telah menerima dos pertama, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata 757,747 lagi janji temu telah dijadualkan antara hari ini dan 30 Jun.
Majoriti janji temu ini adalah untuk golongan berusia 50 tahun ke atas, katanya pada sidang media perkembangan program vaksinasi bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Daripada jumlah itu, 253,719 janji temu adalah untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan 228,397 adalah untuk mereka berusia 50 hingga 59 tahun.
83,610 janji temu adalah untuk golongan berusia 40 hingga 49 tahun dan bakinya adalah untuk individu berusia antara 18 hingga 39 tahun, kata Khairy.
“Data ini juga menunjukkan dakwaan yang kita tidak memberikan sebarang janji temu kepada kumpulan daripada sesetengah kategori umur adalah tidak benar.”
Terdapat rungutan di media sosial daripada indvidu yang mendakwa ibu bapa mereka yang merupakan warga emas terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan tarikh janji temu vaksinasi walaupun kerajaan menetapkan Fasa 2 program vaksinasi adalah untuk warga emas. Kumpulan individu berisiko tinggi juga di bawah fasa ini.
The Malaysian Insight baru-baru ini turut melaporkan terdapat dakwaan individu berusia 20-an dan 30-an, yang sepatutnya berada dalam Fasa 3, menerima suntikan terlebih dulu sebelum penerima Fasa 2 di Langkawi. Khairy berkata perkara itu akan disiasat.
Menteri sains teknologi dan inovasi itu berkata keputusan untuk mengaktifkan Fasa 3 program imunisasi Covid-19 kebangsaan di Lembah Klang adalah mengambil kira fakta bahawa 99% warga emas di Kuala Lumpur yang mendaftar untuk vaksinasi, dan juga 88% di Selangor terlah menerima dos pertama mereka atau tarikh janji temu.
Katanya langkah proaktif itu adalah untuk memperluaskan program vaksinasi tanpa perlu menunggu pendaftaran 100%.
Fasa 3 yang ditetapkan untuk golongan dewasa berusia 18 tahun dan ke atas bermula di Lembah Klang hari ini. – 21 Jun, 2021.