Awas bahaya ‘happy hypoxia’ dalam kalangan pesakit Covid-19
Iklan
‘SILENT hypoxia’, yang dikenal pasti sebagai antara penyebab utama komplikasi serius dalam kalangan pesakit Covid-19 lebih muda, boleh dielakkan jika gejalanya dapat dikesan lebih awal, kata seorang pakar perubatan.
Prof Madya Dr Tan Toh Leong, seorang doktor penyakit berjangkit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, berkata silent hypoxia adalah keadaan yang berlaku apabila paras oksigen dalam darah turun bawah 94%, dan kelesuan adalah salah satu gejala utama.
Kementerian Kesihatan minggu lalu berkata bahawa terdapat peningkatan 35% pesakit Kategori 4 dan 5 Covid-19 dengan salah satu sebabnya adalah happy hypoxia.
Walaupun istilah perubatan yang tepat untuk keadaan ini adalah silent hypoxia, ia juga dikenali sebagai “happy hypoxia”.
Dr Tan berkata, walaupun ada anggapan bahawa silent hypoxia terjadi tanpa gejala yang jelas, seseorang dapat mengetahui tanda amaran jika mereka benar-benar memberi perhatian terhadap tanda-tanda tersebut.
Jangkitan Kategori 4 Covid-19 merujuk kepada pesakit yang menderita gejala pneumonia dan diberi sokongan oksigen sementara pesakit Kategori 5 mengalami keadaan sama dan kegagalan pelbagai organ.
Kementerian berkata bahawa antara mereka yang dibawa dalam keadaan kritikal adalah pesakit asimtomatik muda dan sihat yang secara tidak sedar menderita tahap oksigen rendah.
“Mereka akan letih. Mereka mahu mengekalkan kepekatan oksigen yang ada dalam badan,” katanya.
Dr Tan berkata kadar normal oksigen bagi badan adalah sekitar 98% sehingga 100% dan sekiranya tahap oksigen turun di bawah 94%, maka itu dianggap membahayakan kesihatan dan perlu mendapatkan rawatan perubatan segera.
Beliau berkata beberapa pesakit Covid-19 datang dengan kadar oksigen 50% hingga 60%
“Silent hypoxia berlaku pada mereka yang keletihan selepas jangkitan berpanjangan bukan hanya disebabkan Covid-19 tetapi juga pneumonia,” kata Dr Tan, yang juga presiden Perikatan Sepsis Malaysia.
Silent hypoxia adalah perkara biasa dalam jangkitan paru-paru seperti pneumonia atipikal dan tidak unik untuk Covid-19.
Walaupun KKM mengatakan keadaan itu dikesan pada pesakit Covid-19 tanpa gejala yang muda dan sihat, Dr Tan berkata silent hypoxia lebih kerap berlaku pada warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Keadaan ini banyak dijumpai pada mereka yang mempunyai penyakit berkaitan dengan kekurangan zat makanan seperti kanser, kegemukan dan diabetes yang tidak terkawal, selain Covid-19 juga menyebabkan kekurangan zat makanan akibat kehilangan bau serta deria rasa.
Pesakit menjadi letih selepas mengalami hyperventilation atau bernafas dengan cepat untuk beberapa ketika sewaktu melawan jangkitan dalam jangka masa yang lama.
Keletihan yang berlaku akhirnya melambatkan pernafasan dan menghantar ke mod hypoventilation (pernafasan perlahan) walaupun mereka mungkin berada dalam tekanan hypoxic yang besar.
Dr Tan bagaimanapun berkata adalah mungkin seorang pengamal perubatan atau doktor biasa untuk tidak menganggap kelesusan sebagai tanda jangkitan.
“Kepenatan bagi kami adalah satu amaran. Rasa tidak selesa dan kelesuan adalah tanda pertama happy atau silent hypoxia,” katanya.
Beliau menasihatkan bahawa penting untuk memeriksa tahap oksigen pada pesakit lebih tua jika mereka merasa letih dan kekurangan tenaga.
Mengenai pengguna oximeter, Dr Tan berkata walaupun mudah mendapatkannya, seseorang harus tahu cara menggunakannya. Dia berkata salah membaca boleh berlaku jika seseorang tidak biasa menggunakan peranti ini.
Kekurangan selera makanan juga merupakan salah satu lagi gejala kata Dr Tan.
Beliau berkata jika pengambilan makanan dan air kurang dari 80% dari diet biasa pesakit, maka penting untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Anda harus melihat sama ada mereka lesu dan letih walaupun untuk bangun dari katil atau pergi ke tandas,” katanya.
Cara lain untuk memantau adalah dengan melihat pernafasan seseorang dalam masa seminit.
Beliau berkata idealnya seseorang dapat mengambil antara 12 sehingga 20 nafas dalam jangka seminit.
“Sekiranya kurang dari 12 atau lebih dari 20, mereka harus mendapatkan rawatan perubatan. Sekiranya lebih dari 20, ia disebut pernafasan cepat, dan biasnaya terjadi pada pesakit hypoxic.
“Sekiranya pesakit hypoxic tidak bernafas dengan cepat, ia dipanggil silent hypoxia. Mereka mungkin sakit,” katanya.
Dr Tan menambah, kes kematian di luar hospital mungkin berlaku disebabkan oleh silent hypoxia. – 23 Jun, 2021.