Bimbang hilang pelanggan, penjaja serap kerugian
Iklan
PENJAJA terpaksa menyerap kerugian akibat jualan merosot dan harga bahan mentah yang mahal kerana tidak mahu hilang pelanggan, yang seterusnya akan menyebabkan perniagaan ditutup.
Peniaga yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata, kenaikan harga bahan mentah akibat pandemik Covid-19 telah meningkatkan kos operasi.
Penjaja berkata perintah kawalan pergerakan bagi membendung jangkitan menyebabkan jualan mereka terjejas teruk.
Walaupun kos operasi meningkat, mereka memutuskan untuk tidak menaikkan harga kerana bimbang kehilangan lebih ramai pelanggan.
Oleh itu, penjaja terpaksa menyerap kos tambahan dari bahan mentah dancuba mengurangkan perbelanjaan selagi mana yang mampu.
Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Mohd Baba Kutty berkata perniagaan sudah terjejas teruk sejak wabak bermula.
Beliau juga mempersoalkan kenaikan barangan dan mempertikaikan sama ada ia dimanipulasi oleh “kartel”.
“Perniagaan tidak bagus. Mengapa harga barang baik? Adakah ‘kartel’ memanipulasi harga?
“Mereka berkata kenaikan harga bahan bakar menaikkan harga barangan lain. Tapi apa alasan mereka sekarang,” soalnya.
Baba berkata penjaja dan peniaga kecil tidak memperoleh keuntungan lebih setahun akibat larangan makan di kedai dan waktu operasi yang terhad.
Di bawah prosedur operasi standard (SOP) semasa, Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk membenarkan penjaja dan restoran beroperasi bagi menyediakan perkhidmatan bawa pulang serta penghantaran antara jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Kami tahu bahawa harga makanan laut sudah naik tetapi penjaja akan menanggung harganya. Kecuali barang naik terlalu tinggi sehingga kami tidak mampu menanggung kos, mereka akan menaikkan harga makanan sebanyak 20 sen.
“Mereka bimbang pelanggan tidak akan datang jika harga dinaikkan terutama ketika ini ramai yang memasak di rumah dan jarang keluar untuk membeli makanan,” katanya.
Apabila ditanya adakah kenaikan harga minyak masak botol 5kg akan mempengaruhi penjaja dan peniaga kecil, Baba berkata mereka hanya menerimanya.
Bagaimanapun dia bimbang bagi menjimatkan kos, ramai penjaja dan peniaga kecil memilih untuk menggunakan semula minyak masak.
“Sebelum ini, selepas menggoreng makanan, minyak akan dibuang, Sekarang untuk menjimatkan kos, mereka akan menggunakan minyak itu semula, yang mana ia tidak sihat,” katanya.
Baba berkata dia juga tidak berpuas hati dengan bantuan diberikan kerajaan kerana tidak ada yang dapat membantu penjaja.
“Siapa pakar dirunding oleh kerajaan (untuk membantu penjaja dan peniaga kecil)? Mereka tidak memahami model perniagaan kami dan langkah-langkah yang dibuat memalukan.
Lim Way Way, pemilik gerai mi berkata harga barangan naik sejak tahun lalu.
Beliau berkata harga mi meningkat sejak Februari dan Mac tahun ini. Dahulu sebungkus mi berharga RM6.50 tetapi mulai 1 Jun, harganya RM8 sebungkus.
“Harga 1kg beg plastik bawa pulang juga naik. Tahun lalu, harga naik tiga kali ganda, dari RM7.80 sekilogram awal tahun lalu kepada RM8.20 pada Ogos dan RM8.50 pada awal tahun ini,” katanya.
Lim berkata harga minyak juga naik tetapi dia berasa tidak terlalu terkesan kerana tidak menggunakan banyak minyak dalam perniagaannya.
“Pasar raya mengehadkan bungkusan minyak masak 1kg kepada dua bungkus setiap orang. Adakah ramai orang yang tergesa-geas membelinya?,” soalnya.
Walaupun harga barang terus naik, Lim berkata dia tidak mahu mengubah harga kerana takut pelanggan lari. – 24 Jun, 2021.