Iklan

Kesunyian, kemurungan dorong cubaan bunuh diri, kata pakar

Alfian Z.M. TahirAminah Farid3 years ago24th Jun 2021Berita
Loneliness suicide afp
Masalah kemurungan dan kesunyian meningkat semasa sekatan pergerakan, kata pakar. – Gambar AFP, 24 Jun, 2021.
Iklan

ANGGOTA bomba berpengalaman Juyana Azlan Musa dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berhati-hati mengatur langkah mendekati seorang wanita berusia awal 20-an yang sedang duduk di belebas balkoni di tingkat 32 sebuah bangunan.

Jika tersilap langkah sudah pasti wanita yang mengalami kemurungan selepas diberhentikan kerja itu akan terjun.

Juyana segera menilai situasi berdasarkan pakaian dan kelakuan wanita berkenaan. Dalam fikirannya hanya satu: mahu menyelamatkan mangsa yang cuba untuk membunuh diri itu.

“Kejadian ini berlaku pada minggu lepas di sebuah pangsapuri di Sungai Buloh, Selangor. Wanita terbabit duduk di atas belebas bersebelahan lif di tingkat 32. Ada sedikit saja ruang antara kami.

“Dalam situasi kritikal itu saya perlu berfikir dengan pantas apa yang perlu saya buat. Sedikit kesilapan pun tidak boleh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menceritakan lanjut, Juyana berkata wanita tersebut nekad untuk terjun. 

“Dia beri saya masa 20 saat supaya beredar, dan kalau saya berdegil, dia akan terjun. Pada ketika itu saya tahu saya tak boleh guna cara memujuk. Saya perlu cepat tarik dia tepat pada masanya supaya dia selamat,” kata anggota bomba itu.

Juyana kemudian meminta bantuan seorang penduduk untuk menenangkan mangsa dan pada masa yang sama memberinya air dan telefon bimbit.

“Saya minta salah seorang penduduk di bangunan pangsapuri itu teruskan berbual dengan dia, untuk mengalihkan perhatiannya. Dalam pada itu saya cari jalan untuk mendekati mangsa.

“Usaha itu bukan mudah kerana sebelah kakinya terjuntai dari belebas, tersilap langkah sudah pasti dia jatuh.

“Saya tunggu masa yang tepat, semuanya berlaku dalam sekelip mata. Ketika dia leka, saya cepat-cepat tarik kedua-dua bahunya.

“Selepas itu saya terus tenangkan dia. Rakan-rakan sepasukan kemudian datang membawa wanita itu ke tempat lebih selamat,” kata Juyana ketika menceritakan detik-detik cemas itu.

Anggota bomba lelaki itu berkata sejak awal tahun ini sebanyak 37 cubaan bunuh diri dilaporkan di Selangor. Di Kuala Lumpur pula, sebanyak 17 kes direkodkan tahun lalu, tambahnya.

“Daripada 17 kes itu, 14 mangsa berjaya diselamatkan, seorang cedera manakala dua lagi maut,” jelas Juyana, yang juga jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Di Pulau Pinang pula, sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan di negeri itu, dan 19 kes cubaan bunuh diri antara Januari dan Mei tahun ini.

Kes cubaan bunuh diri di Malaysia meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

 Pakar psikologi berkata sekatan pergerakan menyebabkan kesunyian lebih dirasai, terutama bagi individu yang mengalami masalah kesihatan mental. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2021.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima laporan 88 kes bunuh diri di seluruh negara antara Mac dan Jun tahun ini, dengan 78 berjaya diselamatkan, tujuh cedera dan tiga kematian.

Rekod Kementerian Kesihatan pula menunjukkan 465 kes bunuh diri antara Januari dan Jun tahun lalu.

Befrienders Malaysia menerima lebih kurang 4,142 panggilan antara 18 Mac dan 16 Mei semasa PKP tahun lalu, dengan lebih daripada satu pertiga panggilan adalah berkaitan bunuh diri.

Kerajaan melaksanakan PKP bagi membendung penularan jangkitan Covid-19. Seluruh negara kini dikenakan PKP penuh mulai 1 hingga 28 Jun.

Terasing dan sunyi

Dr Siti Irma Fadhilah Ismail dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia berkata pelaksanaan PKP mendorong individu yang mengalami masalah kesihatan mental cuba membunuh diri.

Pakar psikologi itu berkata sekatan pergerakan menyebabkan golongan itu lebih terasing dan sunyi.

“Keganasan, perbuatan mencederakan diri dan penyalahgunaan bahan terlarang meningkat semasa PKP. Bayangkan apabila seseorang terasing dalam ruang yang sempit. Ini memberikan kesan yang serius kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“Kesunyian melampau akan mendorong cubaan bunuh diri dan risikonya lebih tinggi jika individu tersebut pernah mencederakan diri sendiri,” jelasnya kepada The Malaysian Insight. – 24 Jun, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan