2 premis didenda RM10,000 walaupun ada surat kelulusan Miti
Iklan
KEKELIRUAN mengenai surat kelulusan bagi perkhidmatan penting sepanjang tempoh sekatan pergerakan masih menjejaskan pemilik perniagaan yang mana dua premis didenda selepas didakwa tidak mempunyai surat kelulusan yang dikeluarkan sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Pada 14 Jun iaitu dua minggu selepas tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, sebuah kafe dan kedai minuman bubble tea di SS2, Petaling Jaya, masing-masing didenda RM10,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) walaupun memiliki surat kelulusan Miti, kata Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei.
Pemilik kedua-dua premis berkenaan membuat aduan di pusat khidmat masyarakatnya dua hari lalu dan mendakwa pegawai penguatkuasa terbabit tidak dapat mencari surat kelulusan kedua-dua premis terbabit dalam sistem dan terus mengeluarkan denda.
“Saya sudah meminta pemilik untuk menulis surat penjelasan dan membuat rayuan tidak lama lagi.
“Saya percaya ia adalah masalah teknikal yang boleh diselesaikan.”
Lim juga berkata beliau turut menerima aduan ketiga mengenai perkara sama beberapa hari lalu. Pusat khidmatnya kini sedang menyiasat punca denda berkenaan.
Biro Undang-Undang DAP dan pasukan dari pejabat Ahli Parlimen Damansara Tony Pua turut membantunya. Kampung Tunku merupakan kawasan DUN dalam Parlimen berkenaan.
“Aduan ketiga diterima dari pusat panggilan. Ia turut menerima surat kelulusan Miti namun disaman RM10,000,” kata Lim.
Miti mengendalikan platform dalam talian CIMS 3.0 untuk pemilik perniagaan yang menjalankan perkhidmatan penting bagi memohon surat kelulusan beroperasi semasa sekatan pergerakan. Kelulusan diberikan dari kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap sektor ekonomi tertentu.
Bagaimanapun, surat kelulusan tersebut sepatutnya direkodkan dalam CIMS 3.0.
Pemilik kedai bubble tea yang hanya mahu dikenali sebagai Bryan berkata beliau membuat permohonan kepada Miti pada 1 Jun.
Apabila penguatkuasa datang ke premisnya, mereka memberitahu kedainya tiada dalam sistem Miti.
“Namun selepas denda dikeluarkan, saya masih boleh mencetak surat berkenaan dari sistem.
“Jika kedai saya tidak mendapat kelulusan untuk beroperasi, mengapa ia ada dalam sistem Miti? Apabila saya hubungi Miti, mereka turut menyatakan surat saya direkodkan dalam sistem,” kata Bryan.
Beliau telah menulis surat rayuan kepada pejabat kesihatan daerah. Kedainya masih beroperasi hari ini sementara rayuan diproses.
Sementara itu pemilik kafe berkata mereka telah memohon surat kelulusan Miti lebih awal pada Mei.
Raja Nor Hasnah, yang menguruskan kafe bersama suaminya Johari berkata mereka mengikut langkah yang diarahkan kerajaan pada 31 Mei.
“Mereka mengatakan permohonan harus dibuat menerusi Miti. Dan siaran akhbar Miti bertarikh 31 Mei mengatakan syarikat perkhidmatan penting (yang sudah mendapat kelulusan sebelumnya) tidak perlu mendaftar semula.
“Mereka mengatakan kami hanya perlu memuat turun surat kelulusan terbaru dan itulah yang kami lakukan.”
Namun bagi penguatkuasa KPDNHEP yang datang ke premis mereka pada 14 Jun ia tidak memadai. Mereka tetap menyatakan kafe berkenaan tiada surat kelulusan dan mengenakan denda RM10,000.
“Kami turun naik pejabat kerajaan, untuk buktikan yang kami tidak melakukan kesalahan,” kata Nor Hasnah.
“Pegawai KPDNHEP tetap menyatakan kami perlu mendaftar semula selepas 1 Jun, walaupun kami tunjuk bukti kenyataan media dari Miti yang menyatakan sebaliknya.
“Kami telah mengajukan rayuan kami ke Kementerian Kesihatan (KKM) kerana walaupun denda itu dikeluarkan oleh KPDNHEP, itu adalah mewakili KKM. Oleh itu, kami perlu kemukakan rayuan kami kepada mereka.”
Nor Hasnah berkata rayuannya masih lagi disiasat.
Syarikat dan perniagaan berdepan kekeliruan apabila PKP 3.0 dikuatkuasakan seluruh negara bermula 1 Jun.
Pada mulanya, Miti berkata surat kelulusan yang dikeluarkan sebelum ini masih sah ketika sekatan pergerakan.
Pada 31 Mei, KPDNHEP berkata perniagaan di bawah seliaan kementerian yang dikategorikan sebagai sektor perdagangan pengedaran, perlu memohon kelulusan baru dari kementerian dan surat yang dikeluarkan oleh Miti sebelum itu tidak sah mulai 1 Jun.
PKP 3.0 berkuatkuasa 1 Jun hingga 14 Jun kini dilanjutkan sehingga 28 Jun. – 24 Jun, 2021.