Iklan

Pengurus syarikat direman kes bolot kontrak RM60 juta

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago24th Jun 2021Berita
Sprm
Suspek berusia 43 tahun dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Putrajaya selepas mendapat perintah reman.– Gambar SPRM, 24 Jun, 2021.
Iklan

AGENSI antirasuah menahan reman seorang pengurus syarikat selama empat hari bermula hari ini berhubung kes membolot kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapat perintah itu selepas seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian ditahan berhubung kes yang sama.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM pada kira-kira jam 12 tengah malam selepas hadir untuk memberikan keterangan.

“Suspek dipercayai telah bersekongkol dengan penolong setiausaha bahagian tersebut bagi memonopoliprojek bernilai RM60 juta di kementerian terbabit sejak tahun 2018.

“Sindiket ini dipercayai telah membolot kira-kira 16 projek yang melibatkan 11 kali pembayaran rasuah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Semalam, SPRM memperoleh perintah sama untuk menahan pegawai kanan kementerian itu selama lima hari.

Individu itu didakwa menerima rasuah dalam pelbagai bentuk yang dianggar berjumlah RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak.

Suspek itu dipercayai menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan dua ekar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal.

Kesemuanya hasil sogokan yang dibuat sejak 2016 itu dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.

Operasi berkenaan hasil pemantauan SPRM ke atas jabatan kerajaan yang disyaki terlibat dalam monopoli kartel projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pemantauan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kewangan termasuk meneliti proses perolehan jabatan berkenaan.

Kes monopoli kartel itu hasil kejayaan SPRM melumpuhkan satu sindiket kartel projek selepas menahan tujuh orang termasuk seorang ketua sindiket berusia 47 tahun pada April lalu.

Sindiket kartel projek itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara membabitkan nilai projek RM3.8 bilion.– 24 Jun, 2021.

Iklan
Iklan