Ahli ekonomi perinci kelemahan pelan pemulihan negara
Iklan
BANYAK isu penting yang tidak disentuh oleh Putrajaya dalam Pelan Pemulihan Negara, termasuk dalam mengenal pasti solusi bagi sektor tidak formal dan ketiadaan model ekonomi baharu pasca wabak, kata ahli ekonomi.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight pelan pemulihan empat fasa seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak termasuk melindungi sektor sosial atau bagaimana kedudukan Malaysia bagi meneruskan operasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Mereka menambah yang rancangan pemulihan dilihat terlalu lama bagi membolehkan negara kembali dalam ekonomi dunia dengan lancar.
Profesor ekonomi Universiti Malaya, Dr Rajah Rasiah berkata kerajaan harus mempunyai inisiatif lebih besar merangkumi sektor informal dan pekerja mereka.
Beliau merujuk pada fasa kedua yang diramalkan akan bermula pada akhir Jun yang hanya menumpukan pada sektor ekonomi dengan sektor sosial ditutup.
Fasa 2 akan bermula jika jumlah purata jangkitan baharu Covid-19 turun di bawah 4,000 dan 10% daripada populasi yang diberi vaksin.
“Klasifikasi menyeluruh sektor penting dan tidak penting juga tidak menangani isu sektor serta ruang geografi mana jangkitan ini meningkat,” katanya.
Katanya, kerajaan harus mengenal pasti sektor berdasarkan kejadian jangkitan Covid-19.
“Bagaimanapun kerajaan membenarkan barang-barang tidak penting dijual apabila kedai-kedai juga menjual barang keperluan.
“Dari kawasan geografi titik panas Covid-19, kedai atau kilang yang khusus untuk barangan tidak penting perlu ditutup.
“Dengan cara ini, perniagaan barangan atau perkhidmatan tidak penting dapat beroperasi bukan hanya untuk membantu pertumbuhan ekonomi dan mata pencarian mereka, tetapi memberikan input bagi pengeluar barang keperluan,” katanya.
Beliau berkata, empat fasa itu kelihatan terlalu lama bagi Malaysia untuk kembali dalam ekonomi dunia yang lancar.
Di bawah rancangan itu, Fasa 4 akan bermula selepas Oktober di mana semua sektor ekonomi akan dibuka sepenuhnya. Ini dengan syarat negara berjaya menurunkan kes Covid-19 dan sebahagian besar penduduk divaksin.
“Kita dapat mempercepatkan peralihan ke Fasa 4 hingga September dengan meningkatkan kadar vaksinasi dan menangani prosedur operasi standard (SOP) di kawasan panas Covid-19 yang kebanyakannya dikenal pasti di kilang.
“Jabatan Perangkaan melaporkan pada 18 Jun bahawa Pelaburan Lansung Asing (FDI) Malaysia menyusut sebanyak 54.8% menjadi RM14.6 bilion pada 2020 yang merupakan angka terendah sejak 2009.
“Peningkatan ketidakpastian yang timbul dari lonjakan besar-besaran dalam jangkitan dan kematian Covid-19 pada 2021 jelas akan mengakibatkan kejatuhan FDI,” katanya.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie berkata ekonomi hanya kurang sedikit sahaja terjejas dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini berbanding PKP pertama tahun lalu.
“Semasa PKP 1.0, jentera domestik dan eksport runtuh secara total kerana secara global, semua orang menghadapi wabak ini.
“Tetapi sektor eksport pulih sejak separuh kedua tahun lalu, susulan permintaan yang baik bagi cip elektronik, sarung tangan, minyak sawit mentah dan lain-lain.
“Ini memberi (pengeluar tempatan kita) menjadi penyelamat.”
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai peralihan tempahan kerana industri asing boleh pergi ke negara jiran yang mengalami gangguan rantaian bekalan yang kurang. – 25 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.