Usahawan tani muda buktikan pertanian jana pendapatan besar
Iklan
BIDANG pertanian mampu memberi pulangan pendapatan dan golongan belia perlu diberi galakan untuk menceburi jenis perniagaan ini, kata usahawan tani Ramana K Naidu.
Menggelar pertanian sebagai “lombong emas”, Ramana, 31, turut menolak mitos pertanian adalah industri mati dan berkata sektor pertanian dapat menjana pendapatan tinggi menerusi model dan bimbingan yang berjaya.
Ramana pada masa ini mengendalikan ladang jagung bijirin komersial terbesar di Malaysia, bermula hanya dengan satu ekar tanah pada 2011.
Syarikatnya, Famox Plantation menggunakan jentera berteknologi tinggi seperti dron dan traktor berpenghawa dingin untuk menarik belia bekerja dalam sektor pertanian.
Ketika anak kelahiran Kedah itu kali pertama membuka kebun pelbagai sayuran, beliau memperoleh RM14,000 untuk kerjanya selama 45 hari.
“Itu membuka mata saya dan titik perubahan dalam hidup saya,” kata pemenang Anugerah Agropreneur Muda Jaya peringkat kebangsaan 2019 itu.
Beliau bercerita tentang kerjayanya menerusi seminar atas talian anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Bait Al Amanah baru-baru ini.
Ramana kemudian mendapat tahu Malaysia mengimport hampir 100% jagung bijirin dan permintaan untuk produk itu masih tinggi hingga sekarang.
“Nilai import tahunan ialah RM3.71 juta satu tan metric, bernilai lebih RM4 bilion. Bagi memenuhi permintaan, Malaysia terpaksa menanam jagung bijirin di kawasan lebih 400,000 hektar.
“Jumlahnya besar dan saya hanya mahu mencapai sekurang-kurangnya 1% daripada angka itu iaitu kira-kira RM40 juta. Pada masa ini kami belum mencapainya tetapi sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Motivasi untuk mengusahakan ladang jagung bijirin juga bagi membantu mengurangkan defisit perdagangan, katanya.
“Punca utama harga makanan naik ialah kerana kita bergantung kepada import.
“Contohnya, kenaikan harga jagung bijirin akan secara langsung menaikkan kos pengeluaran ternakan dan kemudian, harga ayam dan telur di pasaran juga naik.
“Ini akan menjejaskan kemampuan negara untuk mencapai keselamatan makanan,” katanya.
Menyemak semula dan menyelesaikan pelbagai masalah dalam sektor pertanian adalah sebahagian daripada pelan membina keselamatan makanan negara.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan awal bulan ini berkata Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan terdiri daripada 15 strategi dan 96 inisiatif bagi memastukan kesediaan Malaysia dalam berdepan krisis keselamatan makanan. – 26 Jun, 2021.