Iklan

Hospital swasta gesa kerajaan benarkan semua jenis vaksin untuk vaksinasi

Ragananthini Vethasalam3 years ago25th Jun 2021Berita
Vaccine sunway convention 280421
Kerajaan disaran pertimbang semula keputusan mengehadkan program vaksinasi hanya pada vaksin jenis atau jenama tertentu sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2021.
Iklan

PUTRAJAYA perlu membenarkan sektor swasta memperoleh semua jenis vaksin untuk program vaksinasi, memandangkan situasi bekalan global, kata Dr Kuljit Singh.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia memberi respons susulan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam yang vaksinasi swasta mungkin tersedia pada Ogos bagi mereka yang bersedia membayar.

“Kami berpendapat ini adalah keputusan tepat pada masanya kerana terdapat banyak syarikat swasta dengan tenaga kerja besar yang menyumbang kepada ekonomi negara yang memerlukan vaksinasi awal kepada pekerja dan kakitangan mereka.

“Selain itu, ada juga individu yang terdesak mendapatkan vaksin lebih awal untuk tujuan perjalanan dan perniagaan,” kata Kuljit dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, beliau berkata terdapat kekurangan vaksin global dan pengagihan antarabangsa yang tidak adil termasuk Malaysia, dan ini menjadikan kelebihan memiliki semua jenis vaksin secara peribadi mungkin mustahil pada masa ini.

Justeru, Kuljit mendesak kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan mengehadkan program vaksinasi hanya pada vaksin jenis atau jenama tertentu sahaja kerana ia akan menyebabkan kegagalan bagi tujuan utama vaksinasi swasta.

“Sektor swasta akan sangat berhati-hati jika jenis vaksin yang mereka bayar terhad kerana umum mengetahui penerimaan vaksin di peringkat antarabangsa sangat banyak bergantung kepada sumber dan jenis vaksin,” katanya.

Beliau berkata sangat penting untuk menyediakan pelbagai jenis vaksin agar dapat dipilih oleh masyarakat sesuai dengan keperluan mereka, apabila suntikan itu dikomersialkan.

Oleh itu, isu pengagihan dan ketidakadilan tidak akan timbul lagi kerana kebanyakan penduduk, terutama mereka yang merupakan barisan hadapan, kumpulan rentan dan berstatus ekonomi rendah akan diberi vaksin, katanya.

“Vaksinasi Covid-19 dianggap sebagai solusi jangka panjang untuk pandemik ini yang mungkin termasuk kemungkinan dos penggalak tahun depan,” katanya.

“Dengan ini, ia boleh diterima jika vaksinasi swasta terbuka untuk semua jenis dan jenama vaksin kerana pengguna akan membayar berdasarkan pilihan yang mereka buat,” tambahnya.

Kujit berkata kerajaan perlu mempertimbangkan fakta ini kerana pihak swasta perlu menyusun rancangan perolehan mereka.

Vaksin harus disetujui oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

 Vaksin yang diluluskan untuk digunakan di Malaysia adalah Comirnaty oleh Pfizer-BioNTech, Vaxzevria oleh AstraZeneca-Oxford dan CoronaVac oleh Sinovac.

Dua vaksin terbaharu yang bakal mendapatkan persetujuan bersyarat oleh PBKD adalah vaksin satu suntikan - Vaksin Coronavirus Novel Rekombinan Convidecia (Vektor Jenis Adenovirus 5), dibangunkan oleh CanSino Biologics Inc yang berpangkalan di China, dan Vaksin Janssen Covid-19 oleh Johnson & Johnson. – 25 Jun, 2021.

Iklan
Iklan