Putrajaya tak ada rancangan jual aset berkaitan lapangan terbang, kata kementerian
Iklan
KEMENTERIAN Kewangan hari ini menafikan bahawa Putrajaya mempunyai rancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang).
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa hartanah lapangan terbang adalah aset strategik kerajaan.
“Merujuk kepada spekulasi media mengenai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa Kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS, kepada mana-mana pihak,” kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.
Kementerian itu menambah bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kekal sebagai pemegang pajakan tanah di mana Lapangan Terbang Subang berada hingga 2067.
“Setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.
“Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (subleased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.
“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah,” menurut kenyataan itu.
Kementerian juga menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angina mengenai perkara ini.
LTSAAS adalah salah satu daripada 39 lapangan terbang yang diuruskan oleh MAHB berdasarkan perjanjian operasi yang ditandatangani pada 2009. Pengendali lapangan terbang juga bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang.
MAHB menyerahkan rancangan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang bernilai RM1.3 bilion kepada kerajaan.
Rancangan ini adalah sebahagian daripada kerangka kerja Putrajaya yang lebih besar untuk masa depan industri penerbangan dan aeroangkasa nasional khususnya Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional dan Pelan Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Sementara itu, firma pembinaan dan hartanah WCT Holdings Bhd mengemukakan cadangan berasingan kepada kementerian pengangkutan, kewangan serta tenaga dan sumber asli pada 1 Mac untuk membangunkan semula lapangan terbang. Ini dilaporkan menelan belanja sebanyak RM3.7 bilion selama 10 tahun.
WCT juga menjalankan operasi Terminal 3 yang juga dikenali sebagai Terminal SkyPark, melalui anak syarikatnya yang dimiliki 60% Subang Skypark Sdn Bhd.
Mereka mempunyai perjanjian konsesi penyewaan 30 tahun dengan MAHB yang berakhir pada Disember 2037 dan juga mempunyai pilihan untuk dilanjutkan selama 29 tahun.
Dana kekayaan berdaulat nasional Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham utama MAHB. – 25 Jun, 2021.