82 maut akibat Covid-19, jumlah kematian cecah 4,803
Iklan
MALAYSIA melaporkan 82 kematian akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 4,803 orang, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata, kes di unit rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 870 berbanding 869 semalam.
Katanya, daripada jumlah di ICU itu, 433 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan.
Mengenai kes yang telah pulih, Dr Noor Hisham berkata 6,775 orang telah sembuh dari koronavirus.
Tambahnya, ini menjadikan jumlah yang sudah pulih kini berjumlah 657,739.
Kes aktif menurun kepada 60,117 berbanding 61,162 semalam, di mana jumlah kes pulih mengatasi kes jangkitan baharu.
Terdapat 5,812 kes baharu hari ini, di mana 32 kes adalah kes import.
Kes baharu telah meningkatkan beban negara menjadi 722,659.
Terdapat 17 kes yang maut sebelum sampai di hospital dilaporkan hari ini, di mana 11 mangsa sudah mempunyai masalah kesihatan. Maklumat mengenai sejarah kesihatan enam mangsa yang lain bagaimanapun tidak tersedia.
Mangsa paling tua yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini adalah lelaki 89 tahun yang meninggal dunia di Hospital Shah Alam.
Dia mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi, dislipidemia, paru-paru kronik dan penyakit buah pinggang.
Mangsa paling muda, adalah wanita 24 tahun yang meninggal di Hospital Selayang.
Mangsa menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik.
Selangor melaporkan kematian terbanyak dengan 31 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 18 kes, Johor (lapan), Negeri Sembilan (5 kes) dan Sarawak (4 kes).
Labuan dan Kedah masing-masing melaporkan tiga kes manakala Pulau Pinang dan Kelantan melaporkan dua kes.
Sabah, Perak, dan Melaka masing-masing melaporkan satu kematian akibat Covid-19. – 25 Jun, 2021.