Jumlah kes petanda perjuangan lawan Covid-19 masih jauh, kata doktor
Iklan
MASIH terlalu awal untuk berfikir yang Malaysia sudah berdepan dengan keadaan paling buruk dalam perjuangannya menewaskan Covid-19 kerana masih banyak ujian saringan jangkitan sedang dilakukan, kata doktor.
Kes baharu jangkitan masih sekitar 5,000 dalam tempoh beberapa minggu ini selepas mencecah angka tertinggi 9,020 dalam tempoh 24 jam pada 29 Mei.
Doktor memberitahu The Malaysian Insight rakyat Malaysia tidak boleh leka dengan angka semasa, dan pakar mendakwa penurunan kes jangkitan harian berlaku hanya kerana ujian saringan yang dijalankan tidak mencukupi.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata data tersebut bercanggah.
“Hanya berdasarkan ujian dan positif, adalah terlalu awal untuk menyimpulkan situasi terburuk sudah berakhir,” katanya sambil merujuk kepada angka ujian mingguan Covid-19.
“Tambahan pula jangkitan komuniti masih tinggi pada tahap 4. Namun, kes kematian harian dan unit rawatan rapi (ICU) nampaknya sudah mencapai kemuncaknya dan ini mungkin merupakan petunjuk awal keadaan paling teruk sudah berakhir,” katanya.
Jumlah ujian Covid-19 yang dijalankan minggu lalu menurun 10.9% kepada 561.156 berbanding minggu sebelumnya, sementara kadar positif meningkat sebanyak 0.3%, menurut laporan epidemiologi mingguan Kementerian Kesihatan.
Sekurang-kurangnya 80,165 ujian dilakukan setiap hari dalam seminggu antara 13 Jun dan 19 Jun.
Sementara itu, kadar positif untuk minggu yang dikaji adalah 6.93% dan 38.911 kes dilaporkan.
Data tersebut merangkumi sampel ujian yang diambil oleh kemudahan kerajaan dan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta.
Pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara Dr Musa Mohd Nordin juga bersetuju ujian tidak mencukupi, sambil menambah sekurang-kurangnya kadar ujian mestilah 1% daripada populasi yang tidak divaksinasi.
Beliau berkata jika 8.6 juta individu di bawah 18 tahun dikecualikan, akan ada kira-kira 20 juta yang tidak divaksinasi.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia sudah memenuhi penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk ujian yang mencukupi.
Menurut penanda aras, harus ada sekurang-kurangnya 10 ujian negatif untuk setiap ujian positif.
Beliau berkata penanda aras juga menentukan petunjuk terbaik untuk kadar ujian yang mencukupi adalah 30 ujian negatif untuk satu ujian positif. – 26 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.