Lebih 7 juta dos vaksin sudah disuntik
Iklan
JUMLAH vaksin disuntik di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah melepasi tujuh juta apabila 215,968 lagi dos disuntik semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata sebanyak 148,380 dos pertama dan 67,588 dos kedua disuntik semalam.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang disuntik setakat 11.59 malam pada 25 Jun adalah 7.03 juta.
Ia meliputi 1.96 juta orang atau 6.0% populasi Malaysia kini sudah menerima dua dos vaksin dan 5.07 juta atau 15.5% lagi penerima dos pertama.
Putrajaya merekodkan 25,825 orang atau 23.5% populasinya sudah divaksin, kadar tertinggi di Malaysia mengikut kawasan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini dilaporkan berkata yang kerajaan menyasarkan 10% populasi Malaysia diimunisasi menjelang pertengahan Julai.
Ini bermakna sekitar 10.7 juga dos akan disuntik dengan nisbah 30 daripada 100 yang disuntik adalah dos kedua dalam tempoh itu. – 26 Jun, 2021.