Iklan

Hari ke-4 kematian Covid-19 lebih 80 orang, kata KP Kesihatan

Ragananthini Vethasalam3 years ago26th Jun 2021Berita
Funeral covid 1 tmi najjua 010621
Kematian terbaharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,884 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2021.
Iklan

SEBANYAK 81 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, hari keempat berturut-turut kematian melebihi 80 orang, menjelang tarikh akhir perintah kawalan pergerakan terbaru (PKP 3.0) pada Isnin ini.

Jumlah kematian pada 23 Jun adalah 83, 24 Jun (84) dan 25 Jun (82). Kematian terbaharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,884 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat sedikit penurunan dalam jumlah kemasukan unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 866 orang, dengan 435 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, kes baharu melebihi jumlah mereka yang pulih dengan 5,803 jangkitan dan 5,193 pulih.

Justeru, jumlah keseluruhan pesakit pulih terkini adalah 662,932 sementara bilangan kumulatif kes bertambah kepada 728,462, dengan kes aktif sebanyak 60,646.

Selain itu, terdapat 10 kes kematian di luar hospital hari ini dengan empat daripadanya mengalami obesiti.

Ia termasuklah seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan korban paling muda, meninggal dunia semasa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang. Beliau menderita obesiti.

Sementara mangsa paling tua melibatkan wanita berusia 97 tahun yang meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu. Sejarah kesihatan beliau tidak dinyatakan.

Selangor melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 30 kes, diikuti Kuala Lumpur (14 kes), Johor (12 kes), Negeri Sembilan (9 kes) dan Sarawak (5 kes).

Pahang dan Melaka masing-masing melaporkan tiga kes manakala Labuan melaporkan dua kes.

Pulau Pinang, Kedah, dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kes. – 26 Jun, 2021.

Iklan
Iklan