Iklan

Kerajaan dengar rintihan rakyat, bantuan bakal diumum, kata Zafrul

Ragananthini Vethasalam3 years ago26th Jun 2021Berita
Covid 19 mco 20200403 hasnoor 011
祖基菲里认为,可以考虑放宽限制令条例。(档案照:透视大马)
Iklan

PUTRAJAYA sentiasa mendengar rintihan rakyat mengenai isu moratorium dan pengeluaran skim i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi catatan ringkas di Facebook, menteri kewangan memberi harapan dengan mengatakan bantuan bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya sudah berbincang dengan PM dan agensi-agensi berkaitan. Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, InsyaAllah,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan satu lagi bantuan ekonomi tidak lama lagi.

Pada masa ini, bantuan pembayaran balik pinjaman bank diberi secara bersasar dan bukannya moratorium menyeluruh seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Mereka yang layak adalah individu hilang kerja, mengalami pengurangan pendapatan, perusahaan kecil dan sederhana di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi serta penerima Bantuan Prihatin Rakyat.

Peminjam yang terlibat boleh memilih moratorium pembayaran balik selama tiga bulan atau pengurangan pembayaran balik bulanan sebanyak 50% selama enam bulan.

Sementara itu, skim KWSP i-Sinar membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 mereka.

Beberapa ahli Parlimen daripada pembangkang dan Barisan Nasional termasuk bekas perdana menteri Najib Razak menggesa moratorium susulan pelaksanaan PKP 3.0.

Najib berkata kemudahan pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari sepatutnya diteruskan ketika PKP terkini.

Beliau menegaskan yang rakyat sangat memerlukan wang tunai.

Najib berkata pengeluaran itu tidak memberi kesan besar terhadap pelaburan dan pulangan KWSP.

“Dengarlah suara mereka yang sudah hampir sampai ke jalan buntu dan hanya harapkan duit mereka sendiri dalam KWSP sahaja akibat PKP bersambung PKP bersambung Total Lockdown yang dipaksakan atas mereka,” katanya dalam catatan Facebook awal hari ini. – 26 Jun, 2021.

Iklan
Iklan