Iklan

Lebih banyak katil, kakitangan ditambah di hospital UKM, kata Dr Adham

Ragananthini Vethasalam3 years ago28th Jun 2021Berita
Hospital
Hospital UKM berdepan masalah kekurangan kakitangan dan katil untuk menempatkan pesakit Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2021.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan akan menambah katil unit rawatan rapi dan kakitangan terlatih untuk pesakit Covid-19 di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKKUKM), kata menterinya Dr Adham Baba.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai kekurangan kakitangan di hospital berkenaan yang menjejaskan pemindahan pesakit Covid-19 yang teruk dari di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) ke hospital.

“Kebanyakan ICU (unit rawatan rapi) dan wad kritikal di Lembah Klang sudah penuh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pilihan kita adalah dengan menambah lebih banyak katil ICU dan kakitangan terlatih di wad kritikal HPKKUKM.

“Satu lagi pilihan yang ada adalah dengan bekerjasama dengan hospital pengajar seperti UiTM dan UPM,” tambahnya.

Dr Adham berkata memandangan ia hospital yang baru beroperasi, kementerian akan meningkatkan tenaga kerja dari semasa ke semasa.

Berhubung pesakit di Maeps yang menunggu untuk dipindahkan ke hospital, Dr Adham berjata unit transit telah ditubuhkan di fasiliti berkenaan untuk merawat mereka sementara menunggu untuk dipindahkan ke hospital.

“Terdapat unit transit yang akan menguruskan kes ini. Terdapat pakar dan kakitangan terlatih yang akan menguruskan unit transit,” katanya. 

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan kira-kira 100 hingga 150 pesakit Covid-19 di Maeps terpaksa menunggu untuk dipindahkan ke hospital, yang berdepan masalah kekurangan katil.

Di HPKKUKM yang baru beroperasi, kekurangan kakitangan menyebabkan penerimaan pesakit terpaksa dihadkan.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini menetapkan hospital berkenaan untuk dijadikan pusat rawatan Covid-19 untuk pesakit di wilayah tengah.

Hospital berkenaan mempunyai 243 pesakit, 28 daripadanya adalah di ICU.

Ia mula menerima 14 pesakit Covid-19 kritikal minggu lalu namun sukar untuk terima lebih ramai pesakit berikutan kekurangan tenaga kerja.

Menurut sumber, Maeps mempunyai kira-kira 100 hingga 150 pesakit yang memerlukan rawatan hospital segera, tetapi hanya 40 pesakit dihantar ke hospital kanak-kanak itu sejak seminggu lalu.

“Ia adalah bangunan baharu dan belum beroperasi sepenuhnya tetapi dilengkapi dengan semua peralatan yang diperlukan.

“Masalahnya, hospital mempunyai kapasiti lebih 200 pesakit tetapi ia sekarang hanya memiliki tenaga kerja untuk menjaga lebih 40 katil sahaja.

“Sementara itu, kami mempunyai sekitar 100 hingga 150 (pesakit) menunggu untuk dipindahkan ke hospital,” kata sumber.

Sumber berkata Maeps menerima pesakit dengan pneumonia (radang paru-paru) dan memerlukan oksigen, ada yang semakin merosot menjadi Kategori 4, memerlukan rawatan di hospital.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,000 pesakit dengan radang paru-paru di pusat kuarantin.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: Kategori 1 adalah kes positif tanpa gejala, Kategori 2 adalah kes positif dengan gejala ringan, Kategori 3 adalah kes positif dengan radang paru-paru.

Jangkitan Kategori 4 Covid-19 merujuk kepada pesakit yang menderita gejala pneumonia dan diberi sokongan oksigen sementara pesakit Kategori 5 mengalami keadaan yang sama dan kegagalan pelbagai organ.

“Intervensi sangat diperlukan sekarang. Jika anda mempunyai terlalu banyak pesakit dengan oksigen di pusat kuarantin, maka bekalan oksigen akan habis akhirnya,” kata sumber itu.

Sumber juga mengeluh kerana pekerja kesihatan berpengalaman ditempatkan ke pusat vaksinasi tetapi menegaskan hospital juga memerlukan seramai kakitangan yang boleh.

Sumber lain berkata tempoh menunggu hospital untuk menerima pesakit dari Maeps boleh berlanjutan hingga beberapa hari dan memerlukan lima hingga enam kakitangan untuk merawat seorang pesakit Kategori 4 atau 5. – 28 Jun, 2021.
 

Iklan
Iklan