RM400 juta tingkatkan bekalan vaksin, kata PM
Iklan
PUTRAJAYA memperuntukkan RM400 juta untuk meningkatkan bekalan vaksin bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata dengan adanya tempahan tambahan untuk vaksin, kerajaan akan mempunyai dos yang cukup untuk mengimunisasi 130% penduduk berbanding 120% sebelum ini.
Beliau menambah, bekalan tambahan itu juga akan membolehkan kerajaan mula menyuntik 6.4 juta remaja berusia antara 12 dan 18 tahun.
“Pelajar yang menduduki SPM tahun ini akan diutamakan,” katanya ketika mengumumkan pakej bantuan ekonomi Pemulih hari ini.
Beliau berkata ini sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan vaksinasi. Sebanyak RM1 bilion sudah diperuntukkan untuk usaha ini.
Katanya, elaun khas untuk 14,000 barisan hadapan yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dinaikkan kepada RM600 daripada RM200 selama enam bulan mulai Julai.
Sementara itu, katanya, majikan yang berdaftar dengan Human Resource Development Corp boleh menuntut hingga 10% daripada sumbangan pungutan mereka untuk memvaksinasi pekerja mereka di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).
Rebat cukai juga akan diberikan kepada majikan sebagai menampung kos vaksinasi seperti perbelanjaan di pusat pemberian vaksin, peralatan dan perkhidmatan.
Katanya, sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi meringankan beban syarikat selain untuk memacu vaksinasi sektor ekonomi melalui Pikas. – 28 Jun, 2021.