Hospital larang doktor kontrak sertai mogok
Iklan
PUSAT Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengeluarkan arahan untuk memastikan pegawai perubatan yang menjalani latihan siswazah tidak mengambil bahagian dalam sebarang mogok kerana boleh menganggu rawatan pesakit.
Timbalan Pengarah (Klinikal) PPUM Dr Mohmmad Salleh Yahya dalam surat pekeliling bertarikh 30 Jun dan dilihat oleh The Malaysian Insight berkata pihak pengurusan mengambil perhatian serius ke atas kempen “Code Black” yang dilancarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
“Pengurusan PPUM ingin mengingatkan bahawa Pegawai Perubatan Siswazah merupakan petugas barisan hadapan tidak seharusnya menyertai hartal yang dibangkitkan oleh kumpulan tertentu yang boleh menjejaskan proses perawatan pesakit di PPUM terutamanya di dalam situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing.
“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang berusaha menangani isu yang dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak,” katanya.
Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) melancarkan kempen Code Black sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan kepada sistem doktor kontrak.
Kempen Code Black akan berlangsung dari 1 Julai sehingga 12 Julai yang berakhir dengan “Black Monday” pada 12 Julai.
Kumpulan itu meminta penyokong menukar gambar profil peribadi, syarikat atau logo syarikat kepada warna hitam atau monokrom sepanjang 12 hari kempen, melawat Facebook MMA Schomos untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini serta berkongsi berita itu dengan orang lain.
Pada 12 Julai, doktor diminta bekerja seperti biasa dengan memakai pakaian hitam.
Mereka juga diminta memegang kad yang bertulis “Kami Bersama Pekerja Kesihatan Kontrak” dan memuat naik gambar di media social dengan tanda pagar #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY and #BlackMondayMY.
Bagaimanapun tiada demonstrasi jalanan akan diadakan kerana doktor akan terus bekerja dan rawatan pesakit tidak akan terganggu.
Kumpulan doktor lain yang dikenali sebagai #HartalDoktorKontrak yang juga tidak berpuas hati dengan sistem kontrak akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan pada 1 Julai.
Kumpulan ini memutuskan untuk melakukan mogok dengan tidak hadir bekerja pada 26 Julai jika Kementerian Kesihatan tidak memenuhi permintaan mereka untuk menyelesaikan masalah dihadapi doktor perubatan kontrak.
Kedua-dua tunjuk perasaan ini tidak ada kaitan antara satu sama lain.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kementerian akan membawa isu doktor kontrak berkenaan ke mesyuarat Kabinet. – 30 Jun, 2021.