Iklan

Ramai terpaksa cari kerja di luar negara, kata doktor kontrak

Ragananthini Vethasalam3 years ago1st Jul 2021Berita
Icu doctors intubation hkl 210621
Pengaliran keluar kepakaran ke luar negara akan memberi kesan kepada sistem kesihatan awam negara terutama di luar bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2021.
Iklan

PEGAWAI perubatan kontrak terpaksa mencari peluang kerjaya di luar negara selepas permohonan mereka untuk jawatan tetap dalam perkhidmatan awam ditolak, kata para doktor.

Mereka berkata lebih 22,000 pegawai perubatan kontrak dalam perkhidmatan kerajaan lulus sejak 2016 tetapi tidak diserap secara automatik kepada jawatan tetap, seperti yang dibuat pada masa lalu.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan antara Disember 2016 hingga 31 Mei 2021, seramai 23,077 pegawai perubatan kontrak UD41 dipilih menjalani latihan siswazah dan perkhidmatan wajib.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut hanya 789 yang diberi jawatan tetap. Sebahagian besar lain dilanjutkan kontrak mereka hingga penghujung 2022, tetapi ketidakpastian mengenai perjawatan masa depan mereka masih kekal.

Ini adalah prospek suram dihadapi oleh pegawai perubatan kontrak yang terpaksa mencari peluang kerjaya di luar negara, yang akhirnya akan menyebabkan pengaliran keluar kepakaran, kata doktor.

Sekumpulan doktor bakal mengadakan mogok untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar menawarkan lebih banyak jawatan tetap untuk pegawai perubatan kontrak.

Pegawai perubatan kontrak di Sarawak yang enggan disebutkan namanya memberitahu The Malaysian Insight, beliau salah seorang daripada beberapa doktor yang mencari prospek di luar negara, menunjukkan ini boleh menyebabkan aliran keluar kepakaran di Malaysia.

“Naratif popular yang berterusan ialah doktor dibayar gaji rendah dan terlampau banyak masa bekerja. Ya, memang benar.

“Tetapi saya rasa kisah seperti itu tidak akan mendapat simpati orang ramai, kerana semua orang dibayar gaji rendah dan bekerja terlalu teruk sekarang.

“Sebaliknya, saya ingin tonjolkan aliran keluar kepakaran yang berlaku pada tahap membimbangkan. Dalam setengah tahun ini, sekurang-kurangnya 10 kawan doktor kontrak meninggalkan Malaysia untuk teruskan kerjaya di luar negara,” kata pegawai perubatan kontrak itu.

Beliau juga mendakwa boleh menamakan 10 lagi rakan dalam lingkaran sosialnya yang kini sedang bersiap untuk meninggalkan negara.

“Di media sosial, ada perbincangan besar mengenai tempat untuk pergi dan bila masa paling awal untuk tinggalkan (tempoh perkhidmatan wajib selepas kami tamat adalah dua tahun).

“Saya sendiri berdaftar dengan majlis perubatan luar negara untuk mencari kerja di negara itu. Mungkin saya akan kembali ke Malaysia selepas jadi pakar,” katanya.

Pegawai perubatan kontrak itu berkata terdapat kekurangan pakar dan tenaga kerja di sektor kesihatan awam dan aliran keluar hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Tambahnya kawasan bandar dan pinggir bandar mungkin tidak terkesan dengan kekurangan tenaga kerja di kemudahan kesihatan awam, kerana mereka masih mempunyai pilihan ke hospital swasta.

Namun, masalah kekurangan tenaga kerja mungkin menjejaskan kawasan luar bandar yang sangat bergantung dengan kemudahan kesihatan awam.

“Walaupun sudah lebih dua tahun di sini, masih ada nama tempat yang belum pernah saya dengar (cuba menerangkan betapa dalamnya kawasan yang dia tinggal sekarang),” katanya.

“Dengan jumlah orang yang keluar daripada sistem ini, adakah KKM dapat mempertahankan perkhidmatan di kawasan luar bandar di Borneo ini? Kita yakin tidak ada kumpulan kesihatan swasta yang akan bersusah payah membuka klinik di tempat-tempat ini.

“Tambahan pula, tanpa latihan pakar yang berterusan, di mana KKM bercadang untuk menggantikan mereka yang akan bersara? Seperti sekarang, kami tidak mempunyai pakar yang mencukupi di sektor awam. “

Mengenai prospek kerjaya di Malaysia selain KKM, doktor itu berkata mengajar di hospital adalah pilihan lain tetapi jumlah hospital terhad.

“Dari segi amalan swasta, GP (doktor umum) bekerja di klinik. Walaupun saya yakin doktor keluarga juga perlu mendapatkan sijil pakar Perubatan Keluarga untuk membuka klinik GP,” katanya.

“Hospital swasta menggunakan beberapa pegawai perubatan untuk menjalankan perkhidmatan mereka, tetapi biasanya mereka memerlukan lebih banyak pakar,” tambahnya.

Katanya, jawatan bukan tradisional seperti pentadbiran, penyelidik, pendidikan perubatan dan lain-lain adalah alternatif.

“Bagaimanapun, ini adalah alternatif. Masih belum ada penyelesaian konkrit untuk pilihan utama kepakaran klinikal,” katanya.

“Banyak yang sudah berpindah ke United Kingdom, Australia dan Singapura untuk melanjutkan latihan mereka,” tambahnya. – 1 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan