Iklan

Pelabur jimat, pemilik selamat bila pajak hotel

Khoo Gek San3 years ago2nd Jul 2021Berita
50566669287 4870aa3c3b b
Menerusi model perniagaan pajakan, selepas tamat kontrak semua kemudahan di bangunan hotel akan dikembalikan kepada pemilik asalnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2021.
Iklan

MEMAJAK hotel muncul sebagai model baharu kepada perusahaan kecil dan bajet yang berjuang untuk bertahan ketika pandemik Covid-19, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).

Persatuan itu berkata 58 hotel  disewa pada tahun lalu untuk jangka masa 15 tahun, 55 daripadanya kepada pelabur yang sama, pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman.

Berdasarkan model ini, pelabur membayar sewa bulanan kepada pemilik atau pengendali hotel antara RM10,000 hingga RM25,000, bergantung pada skala perniagaan.

Semasa tempoh pajakan, pelabur juga membayar kos penyelenggaraan hotel.

Selepas kontrak tamat atau jika tidak diperbaharui, semua kemudahan di bangunan hotel akan dikembalikan kepada pemilik asalnya.

Pengerusi MyBHA Johor Jarod Chia berkata penyewaan hotel adalah model perniagaan baharu buat hotel kecil.

“Setelah mengkaji kontrak sewa, banyak pengusaha hotel merasa tidak ada kerugian.

“Akan ada sewa bulanan buat mereka, dan tidak perlu bayar perbelanjaan operasi kakitangan dan hotel, jadi kenapa tidak buat?” kata Chia kepada The Malaysian Insight.

Menjimatkan kos pelabur

Norizam, 40, mengambil kesempatan ini dengan menambah rangkaian Hotel Zamburger yang ada. Beliau sudah mempunyai 59 hotel di seluruh negara.

Nama itu diikuti pula dengan perniagaan pembuatan makanannya yang membekalkan daging burger dan stik kepada syarikat penerbangan. Perniagaan itu kini terjejas kerana pandemik, dan beliau meletakkan produk makanannya sebagai menu di hotelnya.

Pemilik Kelantan FC itu sedang meninjau hotel kecil dan sederhana dua bintang dan tiga bintang, merancang untuk menyewa sehingga 120 hotel perniagaan dalam dua tahun akan datang.

Bekas perunding pelaburan itu berkata beliau percaya pada potensi pengembangan industri perhotelan setelah industri pelancongan pulih.

Norizam berkata, beliau telah menilai kemampuan kewangannya dan penilaian risiko kontrak pajakan.

“Dengan kemampuan kewangan saya sekarang, ia dapat bertahan untuk dua tahun,” katanya menambah, bagaimanapun ini bergantung pada kes Covid-19 dan tidak ada perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh lagi.

Norizam berkata, model penyewaan lebih baik kerana mendirikan hotel kos rendah memerlukan hingga RM3 juta, termasuk permohonan untuk lesen operasi, dokumen dan pengubahsuaian.

“Tetapi jika saya sewa dari pengusaha hotel, saya belanja RM10,000 hingga RM20,000 sebulan, yang merupakan sewa RM240,000 setahun. Kontrak pajakan selama 15 tahun adalah RM3.6 juta.

“Bukankah lebih menjimatkan daripada membeli hotel sendiri?”

Mengenai kerugian sepanjang tempoh PKP penuh, beliau berkata  jumlah RM240,000 setahun akan dianggap “bukan sebagai kerugian, tetapi sebagai dana pembangunan”.

“Dan pulangan saya akan bertambah selepas dua tahun,” kata Norizam. – 2 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan