263,012 dos vaksin Covid-19 semalam, kedua tertinggi
Iklan
SEBANYAK 263,012 dos vaksin diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam tempoh 24 jam semalam.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), daripada jumlah itu seramai 178,148 orang merupakan penerima dos pertama manakala 84,864 lagi penerima dos kedua.
Ini adalah jumlah vaksinasi harian kedua tertinggi yang dicatatkan dalam program imunisasi yang bermula pada 24 Februari lalu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima dos vaksin meningkat kepada 8.34 juta orang setakat ini.
Daripada jumlah ini, 2.39 juta orang atau 7.3% penduduk sudah melengkapkan dua dos manakala baki 5.95 juta atau 18.2% orang menerima dos pertama.
Putrajaya terus mencatatkan kadar vaksinasi tertinggi pada 25.4% daripada jumlah penduduk yang berdaftar sementara 27,950 penduduk di Wilayah Persekutuan sudah melengkapkan dua dos.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata kerajaan mensasarkan 10% penduduk negara ini diberikan pelalian itu pada pertengahan Julai.
Ini bermakna kira-kira 10.7 juta dos harus diberikan dalam tempoh masa berkenaan.
Katanya, untuk setiap 100 dos yang diberikan, 30 adalah penerima dos kedua. – 2 Julai, 2021.