Norma bekerja dari rumah jejaskan syarikat tempat letak kereta
Iklan
SYARIKAT tempat letak kereta berada dalam keadaan genting susulan norma baharu bekerja dari rumah akibat pandemik yang memberi ancaman kepada perniagaan mereka.
Mereka meluahkan kebimbangan mengenai ketidakpastian disebabkan oleh perubahan budaya kerja, dan juga jumlah pengunjung yang berkurangan di pusat membeli-belah.
Sementara itu, bagi pengguna tempat letak kereta, keadaan itu membolehkan mereka menyimpan wang.
“Kami harap norma baharu ini tidak kekal kerana ia pasti akan menyukarkan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Trans Park Sdn Bhd, Thejashrea Gobinathan.
“Kami tidak mempunyai banyak pilihan sekarang. Bagaimana jika pelanggan kami bukan perkhidmatan penting dan jika mereka kehilangan perniagaan, masih dapatkah kami beroperasi?
“Jadi, ada banyak faktor dan ia seperti kesan domino.”
Trans Park kini bertahan dengan beroperasi di kawasan perkhidmatan penting seperti pasar raya besar.
“Jadi, apa sahaja pendapatan yang kami dapat ini, membantu kami perniagaan bertahan.
“Kami ada cabang perniagaan dalam pelbagai industri sebagai penyedia perkhidmatan dan bersyukur ia turut membantu kami,” kata Thejashrea.
Trans Park beroperasi sejak 2000 dan kini mempunyai 30 kakitangan yang bekerja di ibu pejabatnya dan lokasi di beberapa negeri termasuk Kedah, Terengganu dan Johor.
Thejashrea berkata kutipan menurun secara drastik di semua tempat dan pendapatan tidak mencukupi untuk membayar sewa.
“Ada gaji yang perlu dibayar, perkhidmatan penyelenggaraan mesin dan akhirnya, ia mengenai berapa banyak yang anda belanjakan tetapi tidak mendapat sebarang pulangan.
“Pemilik hartanah perlu bertimbang rasa untuk mengurangkan sewa, maka barulah kami dapat sedikit pendapatan.”
Ironinya, beliau berkata ada menerima permintaan daripada pelanggan baharu ketika ini untuk beroperasi dari premis mereka.
“Ini adalah peluang tetapi kami tidak tahu mengapa mereka meninggalkan penyedia perkhidmatan sekarang, mungkin perjanjian sewa sudah tamat dan mereka mencari penyedia perkhidmatan baharu.
“Ini juga mungkin bermakna sebaliknya. Oleh itu, bagi setiap peluang yang diperolehi, memerlukan perkiraan lebih teliti. Anda mesti melakukan perkiraan dengan teliti kerana tidak mampu menanggung kerugian lagi.
“Kami tidak mahu menyediakan tempat letak kereta dan kemudian ia tidak beroperasi, kami tidak boleh menunggu profit datang,” katanya.
Walaupun pengusaha tempat letak kereta seperti Thejashrea kesal dengan kehilangan pendapatan, pengguna tempat letak kereta tiada sebarang keluhan.
Seorang perunding bersekutu firma perunding pengurusan, Jeremy Joel berkata beliau banyak berjimat apabila bekerja dari rumah.
“Saya mempunyai pelanggan di kawasan KL Sentral dan Raja Chulan. Tempat letak kenderaan di sana boleh naik sehingga RM14 bagi tempoh tiga jam,” kata pemuda berusia 26 tahun itu.
“Ketika saya menghadiri bengkel selama sembilan jam sehari, bayaran tempat letak kenderaan dikenakan RM44. Dan ia berlaku beberapa kali dalam sebulan yang bermaksud saya terpaksa membayar RM200 untuk tempat letak kenderaan sahaja.”
Beliau berkata sepanjang wabak itu, beliau masih boleh mendapat elaun perjalanan tetap daripada syarikatnya.
“Oleh itu, saya memperoleh sekitar RM200 setiap bulan sekarang,” katanya, sambil menambah tidak perlu lagi berdepan kesulitan mencari tempat letak kenderaan dalam bangunan.
Pembantu akaun dan pentadbiran yang bekerja di Subang, Galilee Kuan Li Vin, 30, berkata beliau membatalkan tempahan tetap tempat letak keretanya tahun ini.
“Saya gembira sudah menghentikannya dan berjaya menjimatkan RM130 selama empat bulan sekarang.
“Tahun lalu, saya membazirkan banyak wang selama berbulan-bulan,” katanya. – 3 Julai, 2021.
Berita penuh di sini