Iklan

i-Citra: Rahmat atau bencana?

49931441638 0b58abb49b o KWSP EPF
Melalui i-Citra, pencarum KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2021.
Iklan

KEPUTUSAN PUTRAJAYA melaksanakan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Melalui i-Citra, pencarum boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Beberapa pencarum yang ditemu bual The Malaysian Insight gembira dengan pengumuman tersebut, lebih-lebih lagi bagi yang hilang pekerjaan atau terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19, sementara ada pula yang tidak mahu mengusik wang simpanan persaraan mereka.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19.

Permohonan boleh dibuat mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun pemohon pada Ogos 2021.

Muhyiddin berkata pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Bekas penyelaras projek di sebuah syarikat multimedia, Natasya Erwanty Mohd Amin,  berkata beliau akan memohon pengeluaran i-Citra sebaik sahaja permohonan dibuka.
 

Wanita berusia 30 tahun itu sudahpun mengeluarkan simpanan menerusi i-Lestari dan i-Sinar, dua skim pegeluaran yang diperkenalkan KWSP sebelum ini.

“Kalau nak tunggu bantuan kerajaan, bantuan hanya sekali sahaja. Tapi kalau skim KWSP, masuk setiap bulan.

“Saya tahu saya menggunakan duit sendiri, tetapi saya tiada pilihan. Takkan hendak pinjam daripada ah long? Sudah tentu akan menyusahkan diri sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Fahmi Othman, 27, yang kehilangan kerja semasa pandemik, juga sependapat dengan Natasya.

Bekas pereka landskap itu berkata wabak Covid-19 selepas dibuang kerja beliau tiada pilihan lain selain memohon skim i-Citra.

“Saya sekarang tak ada kerja, terpaksa guna duit simpanan dan KWSP untuk teruskan hidup. Saya tak sampai hati nak minta bantuan mak dan ayah tetapi mereka pun ada masalah kewangan.

“Saya tak mahu susahkan mereka. Saya hendak mohon keluar duit KWSP sebab itu duit saya sendiri. Bila dah dapat kerja baru nanti saya kena berusaha keras untuk ganti semula,” katanya.

Tambah Fahmi, bantuan sekali beri dari kerajaan sebenarnya tidak cukup.

“Kalau kerajaan beri RM500 misalnya, berapa lama boleh bertahan? Tak sampai seminggu, mungkin dah habis. Barang-barang keperluan sekarang bukannya murah.”

Jurutera elektrik Ooi Wei Beng juga berkata akan memohon pengeluaran i-Citra selepas memohon skim i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini.

Wang itu boleh digunakan untuk melabur dalam pasaran saham atay dana unit amanah, kata pemuda dari Selangor itu.

“Saya keluarkan i-Sinar untuk beli kereta baharu. Beli perabot untuk rumah baharu pula saya guna duit dari i-Lestari.

“Saya cadang nak mohon i-Citra juga. Mungkin saya boleh melabur dalam ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) atau pasaran saham,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengeluaran KWSP di bawah skim i-Lestari dan i-Sinar bagi membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.

Melalui skim i-Lestari, pencarum berusia 55 tahun ke bawah mengeluarkan simpanan akaun dua mereka, maksimum RM500 sebulan untuk 12 bulan, sehingga 31 Mac lalu.

Menerusi skim i-Sinar pula, pencarum dibenar mengeluarkan simpanan sehingga 10% daripada Akaun 1.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Mei lalu berkata sebanyak RM52.48 bilion pengeluaran i-Sinar telah diluluskan kepada 5.94 juta pemohon setakat 14 Mac.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM32.74 bilion telahpun dikreditkan ke dalam akaun pemohon. – 3 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan