Tiada harapan untuk Dr Mahathir di kerusi Putrajaya
Iklan
Calon perdana menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dijangka bertanding sama ada di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya. The Malaysian Insight mengunjungi tiga kawasan ini untuk mengukur sejauh mana sokongan kepada bekas perdana menteri itu. Dalam bahagian terakhir siri ini, kami meneliti peluang Dr Mahathir untuk memenangi kerusi Putrajaya.
SIAPA sangka Putrajaya dulunya hanyalah sebuah kawasan terpencil dinamakan Prang Besar yang dipenuhi ladang getah dan kelapa sawit.
Ia kini berubah wajah menjadi salah satu tempat terpenting bagi urusan pentadbiran negara dengan kemudahan antarabangsa selepas diambil alih sejak 1995 oleh kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Bagi mengelak kesesakan di Kuala Lumpur, pentadbiran kerajaan yang beroperasi di ibu kota dipindahkan ke Putrajaya yang berkeluasan 4,930 hektar.
Putrajaya terus dibangunkan dari masa ke masa oleh perdana menteri keempat yang digelar Bapa Pembangunan itu.
Bagaimanapun, segala pengorbanan dan titik peluh Dr Mahathir itu nampaknya tidak akan beri apa-apa kelebihan kepada Dr Mahathir – tidak seperti di Kubang Pasu dan Langkawi, meskipun Putrajaya dibangunkan olehnya.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim berkata pihaknya tidak menafikan sumbangan Dr Mahathir dalam membangunkan Putrajaya.
Namun katanya, pengerusi Bersatu itu perlu sedar bahawa Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan individu yang menjaga kebajikan penduduk di situ sejak terpilih mewakili kerusi tersebut.
Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan merupakan ahli Parlimen Putrajaya sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004.
Pada PRU13, beliau menewaskan Husam Musa, pemimpin PAS ketika itu dengan 9,943 undi. Husam pula meraih 4,402 undi. Husam kini merupakan naib presiden Amanah.
Faisal berkata Dr Mahathir akan cuba menawan hati pengundi dengan membangkitkan nilai sentimental mengenai sumbangannya sebagai pengasas Putrajaya.
“Dia cuba menagih undi dari sudut itu (bahawa) dia yang cipta Putrajaya… Tapi hakikatnya, orang yang jaga Putrajaya adalah ahli Parlimen Putrajaya,” tegasnya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, Umno Putrajaya masih berhati-hati dengan kemampuan pembangkang untuk merampas kerusi tersebut, katanya.
“Berdasarkan khidmat yang disediakan, apa yang Ku Nan sediakan untuk warga Putrajaya, seperti tiada ruang (untuk pembangkang menang) tapi kita pun masih tidak boleh pandang rendah pembangkang ini.
“Masa PRU13, PAS dapat 4,000 undi. Jadi banyak juga, penambahan lebih 1,000 undi berbanding PRU12. Jadi kita masih berjaga-jaga,” katanya.
Tambahnya, fokus Umno Putrajaya setakat ini hanya tertumpu kepada kebajikan rakyat secara konsisten seperti beri bantuan berbentuk barangan dan wang.
Ia termasuk penyediaan baucar RM20 untuk ke pasar, kad perubatan untuk warga emas dan pengisian petrol percuma untuk motosikal bawah 150cc.
Katanya, dengan ini kerajaan sedia ada dapat mengekang sebarang pengaruh daripada pembangkang di Putrajaya.
“Pembangkang hanya cakap kos sara hidup naik, harga minyak naik tapi apa mereka dapat buat untuk bantu balik?” soalnya.
Mengulas lanjut, Faisal berkata Umno Putrajaya juga akan sentiasa mengingatkan pengundi individu yang menjaga kebajikan mereka adalah Ku Nan.
“Itu yang kami cakap dengan penduduk Putrajaya, itu yang kami suarakan – siapa yang jaga (mereka) di sini dari A hingga Z,” katanya.
Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, Putrajaya dibangunkan dengan dilengkapi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, perumahan, kemudahan komersial, kemudahan sosial, tempat rekreasi dan tempat ibadat.
Ia dibahagikan kepada 12 Presint. Bandar ini terletak di tengah-tengah Koridor Raya Multimedia (MSC) dan hanya 30km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bandar itu juga menjadi lokasi popular di kalangan pelancong dengan menerima seramai 7.36 juta pelawat pada 2014 dan dianggarkan akan meningkat sehingga 10 juta pada 2020.
Tiada sebab untuk tidak undi kerajaan
Berdasarkan tinjauan The Malaysian Insight, rata-rata penduduknya berpuas hati dengan apa yang dinikmati selama ini.
Bagi mereka, keselesaan dan kemudahan lengkap yang dirasai selama ini meyakinkan pilihan mereka untuk mengundi kerajaan sedia ada, Barisan Nasional dalam PRU14 nanti.
“Kita memang akan undi kerajaan. Sebab sebagai penjawat awam sudah ada Aku Janji, kena setia (pada kerajaan).
“Lagipun, di Putrajaya memang semuanya lengkap. Penjawat awam juga selesa dan sering dibantu,” kata seorang penjawat awam berusia 32 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Malissa.
Seorang lagi penjawat awam, Zul, menyokong pandangan itu. Beliau berpendapat, setakat ini tiada cacat-cela di Putrajaya melainkan isu seperti kos sara hidup dan harga perumahan yang melambung tinggi.
“Di Putrajaya, tiada sangat isu tempatan. Banyak melibatkan isu nasional macam kos sara hidup, harga barang tinggi dan daripada segi rumah yang mahal,” katanya.
Pemuda berusia 36 tahun itu berkata, beliau memilih wakil rakyat kawasannya berdasarkan portfolio calon tersebut.
Beliau turut sependapat dengan ketua Pemuda Umno bahagian di situ bahawa khidmat yang disediakan oleh Ku Nan tiada tolok bandingan.
Bagaimanapun, Zul berkata penjawat awam tidak akan mengalami masalah sekiranya tidak mengundi parti kerajaan.
“Kami penjawat awam sebenarnya tiada masalah jika tidak undi kerajaan sebab dulu ramai takut hendak mengundi,” katanya.
Beliau melihat calon PAS yang menentang Ku Nan iaitu Husam tetap mendapat sekurang-kurangnya 4,000 undi.
“Macam saya, saya lebih mengikut kepada calon. Tapi Ku Nan sangat bagus dan prihatin dengan pengundi. Setiap hari lahir ada dapat hadiah. Khidmat dia sebagai wakil rakyat bagus.
“Bagi saya kalau Dr Mahathir jadi calon di Putrajaya, (undi yang memihak) pembangkang hanyalah kepada PAS. Amanah dan DAP langsung tiada ruang,” katanya.
Dr Mahathir pada akhir Disember lalu mengesahkan kemungkinan untuk bertanding di salah satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.
Mengulas mengenai pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Zul berpendapat bekas perdana menteri itu tiada peluang untuk kembali menyandang jawatan tersebut mahupun untuk merampas kerusi di Putrajaya.
Namun katanya, jika nama calon perdana menteri itu digantikan dengan nama ketua umum PKR Anwar Ibrahim, pembangkang mungkin dapat merangkul kerusi tersebut.
“Jujurnya, (untuk calon) perdana menteri kalau letak Anwar, sentimen undi seperti pada Husam mungkin masih ada.
“Saya mencampuri masyarakat di sini dan ke surau-surau. Di sini hanya dapat lihat (penyokong) PAS dan Umno. Kalau Dr Mahathir (jadi calon) mesti kalah,” katanya.
Lalu siapakah yang akan menyokongnya di sini? Seorang lagi penduduk tempatan, Sukri melihat penyokong Dr Mahathir di Putrajaya hanyalah golongan veteran.
“Bagi saya yang sokong Mahathir lebih pada veteran. Mungkin yang pencen-pencen juga.
“Tetapi bagi saya Putrajaya ini adalah kerusi selamat bagi BN. Apa yang penjawat awam hendak, semua dah ada. Walaupun letak Dr Mahathir, susah nak menang,” katanya.
Beliau menyimpulkan, hanya BN dan PAS mempunyai peluang meraih kerusi tersebut.
“Macam di Putrajaya semuanya BN. PAS pun menjurus kepada BN. Semua (perkhidmatan) sudah ada di sini, jadi tiada isu. Maknanya masyarakat berpuas hati,” katanya.
Pandangan pengundi seperti ini akan menyukarkan perjalanan Dr Mahathir, 93, untuk bertanding di situ.
Kerusi paling sukar untuk Dr Mahathir
Menurut penganalisis dari Akademi Pengajian Melayu Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, Putrajaya malah akan menjadi kerusi paling sukar untuk ditandingi Dr Mahathir.
Beliau membuat jangkaan itu berdasarkan peratusan tinggi pengundi penjawat awam di situ yang akan dipengaruhi kerajaan.
“Undi penjawat awam selalunya dipengaruhi oleh kerajaan sedia ada dan pada masa ini tiada bayangan bahawa ia (penampilan Dr Mahathir) akan beri kesan pada PRU14.
“Pengundi ini kelihatan seperti akan kekal bersama BN memandangkan mereka takut dengan (tawaran) pembangkang, lebih-lebih lagi dengan pengumuman untuk kurangkan kos kerajaan,” katanya.
Sebabnya, PH juga tidak menjelaskan cara untuk mempertahankan keistimewaan Melayu dan melindungi serta menaiktarafkan perkhidmatan penjawat awam.
Tambahnya, ini bertentangan dengan tawaran kerajaan, seperti pengumuman Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa untuk memberi peluang kepada anak pesara memiliki rumah melalui Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).
Dr Mahathir tidak beri kesan pada PAS
Bagi PAS Putrajaya pula, kehadiran Dr Mahathir sebagai calon di kawasan itu tidak akan membuahkan sebarang hasil.
Yang dipertua PAS kawasan, Ahmad Roshidi Wahab berkata Dr Mahathir mungkin hanya akan mendapat undi daripada bekas penyokong parti Islam tersebut.
“Jadi peluang Tun M dalam hal ini nampak taklah terlalu besar peluang dia. Pada PAS sebenarnya tiada masalah kalau beliau bertanding dan kita seperti biasa akan tetap bertanding di sini.
“Kalau daripada segi impak, kita rasa ia tak memberikan impak yang besar sangat kepada PAS sebab kita ada segmen pengundi kita sendiri.
“Kalau dia (Dr Mahathir) menarik sokongan pengundi PAS yang dulu, mungkin adalah. Tapi orang yang menyertai parti gabungan dialah (PH) atau parti dia sendiri,” katanya.
Beliau berkata penjawat awam di Putrajaya juga masih bimbang untuk mengundi parti pembangkang kerana sering ditakut-takutkan dengan hukuman yang menjejaskan kerjaya seperti dipindahkan ke kawasan lain.
Roshidi juga yakin tiada isu serius di Putrajaya yang boleh dijadikan sebagai senjata dalam PRU yang dijangka berlangsung tahun ini.
“Setakat ini ada isu terpencil tapi tak nampak benda seriuslah. Adalah satu, dua kes yang kita boleh anggap macam tu. Tapi yang dikaitkan terus dengan pengundian masa pilihan raya, tak pernah nampak lagilah. Tiada rekod mengenainya,” katanya.
Beliau juga tetap percaya masih terdapat pengundi tegar yang akan memilih PAS meskipun selepas krisis dalaman parti pada 2015 yang melahirkan parti serpihannya, Amanah.
“Kita masih percaya pengundi PAS masih bersama PAS, kecuali beberapa peratus yang sudah ke parti Amanah,” katanya.
Katanya, keyakinan itu tinggi kerana 95% pengundi di situ adalah Melayu-Islam dan PAS Putrajaya yakin menarik golongan ini dengan imej politik “matang dan sejahtera” yang ditonjolkan PAS.
“Kita sebelum ini boleh dikatakan agak kritikal, buatkan orang agak takut,” kata Roshidi.
Lalu, PAS Putrajaya kini menukar strategi dengan mengetengahkan isu yang tidak menakutkan.
“Kita lebih banyak membawa (isu) yang boleh dikatakan realistik – yang bukan hanya mengkritik tapi lebih kepada kebaikan dalam masa hadapan,” katanya.
Perubahan ini disedari oleh pengundi di kawasan Putrajaya, antaranya Sukri yang dapat melihat betapa PAS tidak lagi mengkritik Umno dan BN.
“PAS tidak bersama Umno tapi PAS sudah tidak beri penekanan (membangkang) di Putrajaya.
“Masa dulu (penyokong) pergi ceramah, ramai pergi dengar sebab PAS kutuk BN. Tapi sekarang mereka tak mahu dengar. Sekarang PAS sudah tidak kutuk.
“Yang kutuk hanyalah Amanah tetapi Amanah tiada sambutan di Putrajaya. Apatah lagi DAP,” katanya. – 15 Januari, 2018.