Iklan

Rakyat terdesak pasang bendera putih

Bentong uncle
Kain putih dipasang di depan rumah sebagai tanda penghuninya memerlukan bantuan dalam gerakan bendera putih yang dilancarkan di media sosial. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.
Iklan

WARGA emas dan golongan orang kurang upaya yang tinggal sendirian antara penerima bantuan yang meminta tolong dengan memasang bendera putih di depan rumah, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bertujuan menyekat Covid-19 masih tidak nampak tanda akan berakhir.

Sesetengah daripada mereka berkata ada terfikir untuk membunuh diri, jika tidak kerana gerakan bendera putih dimulakan di media sosial dan rakyat Malaysia bergegas bertindak membantu mereka yang memerlukan.

Penerima bantuan yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak ada cara lain untuk bertahan kerana penguatkuasaan PKP yang berlanjutan menyebabkan pendapatan mereka terhenti dan simpanan habis.

Mohd Nor Abdullah, 29, yang tinggal di Taman Ikan Emas, Cheras menjual nasi lemak di gerai tepi jalan sebelum PKP, berkata beliau tidak dapat berniaga selama tiga bulan.

“Sukar untuk mencari wang. Walaupun saya cari kerja, saya tidak dapat bekerja kerana PKP,” katanya ketika ditemui di rumahnya di mana beliau tinggal seorang diri.

Beliau menerima bantuan bulanan RM400 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana beliau OKU, dan daripada jumlah, RM350 digunakan untuk membayar sewa.

Dengan beberapa bil lain yang perlu dibayar, tidak banyak yang tinggal untuk membeli makanan dan beliau terpaksa bergantung kepada ihsan rakannya sepanjang beberapa bulan lalu.

“Saya terpaksa pinjam duit daripada kawan (untuk beli makanan). Tetapi saya tidak tahu apa lagi boleh buat, jadi saya pasang bendera putih,” katanya.

Dalam tempoh sehari selepas meletakkan kain putih itu, Nor berkata beliau menerima banyak bantuan.

“Mereka yang beri saya bantuan semua orang yang saya tidak kenal.”

Mohd Nor Abdullah menjual nasi lemak di gerai tepi jalan sebelum PKP, berkata beliau tidak dapat berniaga selama tiga bulan. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

Di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Soon, 45, berkata beliau mempertimbangkan untuk membunuh dirinya kerana merasakan tidak ada sesiapa yang mahu membantunya.

“Saya murung dan banyak terfikir perkara negatif, saya berseorangan di dunia ini dan tidak ada siapa akan tolong saya.

“Ini (bendera putih) adalah percubaan terakhir saya dan jika ia gagal, saya sudah rancang untuk terjun jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Soon sebelum ini mampu menjana pendapatan kira-kira RM800 sehari menerusi gerai makanan yang diusahakannya tetapi perniagaannya terjejas teruk akibat PKP sejak tahun lalu.

“Saya berusaha keras untuk meneruskan perniagan sejak PKP pertama tahun lalu dan bila kerajaan umum PKP penuh pada 1 Jun, memang saya tidak dapat bertahan lagi.”

Apabila wang simpanannya habis, Soon mula tidak dapat membayar sewa dan bil. Beliau mempunyai tunggakan empat bulan sewa rumah, bil air dan elektrik.

Soon menaikkan bendera putih di luar rumahnya awal minggu ini dan menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, yang membantunya membayar semua tunggakan bil dan memulakan perniagaan kecil.

Di Bentong, Pahang, Adun Bilut Lee Chin Chen juga memberi bantuan kepada tiga individu yang memasang bendera putih.

Salah seorangnya ialah Faiz, 21, yang juga meninggalkan komen di hantaran media sosial Lee, meminta bantuan makanan.

“Beliau komen di hantaran media sosial YB dan kemudian kami pergi dan jumpa beliau yang turut memasang bendera putih.

“Tetapi ketika kami pergi ke rumahnya, bendera putih sudah diturunkan kerana ada orang sudah datang memberinya bantuan,” kata pembantu peribadi Lee, Shan Mei Yen kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Faiz yang berasal dari Kelantan dan tinggal seorang diri, diberikan bantuan beras, biskut, mi segera dan beberapa barang kering yang lain. – 4 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan