Iklan

8% penduduk telah divaksin sepenuhnya, kata JKJAV

Aminah Farid3 years ago5th Jul 2021Berita
Vaccination senior citizen tmi 05
Seorang warga emas kelainan upaya memegang plakat "Saya Telah Divaksin" selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah rumah penjagaan di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Julai, 2021.
Iklan

SERAMAI 2.6 juta rakyat atau 8% penduduk Malaysia telah divaksin sepenuhnya setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Sementara itu, 6.3 juta orang atau 19.6% daripada penduduk telah menerima dos pertama vaksin mereka, katanya di Twitter.

Lebih sembilan juta dos telah diberikan, di mana setakat semalam 206,015 suntikan diberikan dengan 127,385 untuk dos pertama dan 78,630 untuk dos kedua.

Putrajaya telah mengatasi negeri dan wilayah persekutuan lain selepas 41.9% penduduk telah diinokulasi sepenuhnya. Ia diikuti Labuan dengan 25% dan Perlis 23.5%.

Selangor, yang terus melaporkan jumlah jangkitan harian tertinggi melaporkan kadar vaksinasi paling rendah.

Setakat semalam, negeri ini hanya melaporkan 348,853 daripada 6.56 juta penduduk atau 5.3% populasinya telah divaksin sepenuhnya.

10% penduduk Malaysia perlu divaksin agar negara dapat beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Dua lagi petunjuk sebelum beralih ke Fasa 2 adalah kes harian Covid-19 bawah 4,000, dan kadar katil di Unit Rawatan Rapi (ICU)mencapai tahap sederhana.

Bagaimanapun, dalam empat hari terakhir ini kes harian koronavirus masih melebihi 6,000

Semalam, Malaysia melaporkan 6,045 kes baharu Covid-19 dengan 63 kematian. – 5 Julai, 2021.

Iklan
Iklan