Iklan

Pengusaha bas persiaran tidak mampu bayar pinjaman kenderaan

Khoo Gek San3 years ago6th Jul 2021Berita
3b00838c-54a4-4eb3-876f-70d1d6670569
Perkhidmatan bas persiaran tidak dapat jana pendapatan sejak lebih setahun lalu sejak pandemik Covid-19 bermula, kata Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.
Iklan

PENGUSAHA bas persiaran yang masih perlu menjelaskan bayaran bulanan pinjaman untuk bas masing-masing berkata skim bantuan untuk mereka tidak adil dan turut berdepan masalah kenderaan mungkin diambil oleh syarikat pemiutang.

Subsektor dalam industri pelancongan itu tidak dapat menjana pendapatan langsung sejak lebih setahun lalu susulan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19, tetapi mereka masih perlu membuat bayaran balik pinjaman kepada syarikat kredit untuk kenderaan mereka, kata Steven Chong yang mewakili sekumpulan operator bas persiaran di Semenanjung.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung itu berkata terdapat 2,000 syarikat penyedia bas persiaran atau perkhidmatan van mini, dan lebih 8,000 bagi jenis kenderaan ini.

Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu, kira-kira 2,000 kenderaan ditarik apabila operator tidak dapat membayar balik pinjaman, kata Chong kepada The Malaysian Insight.

Jika masih tiada skim jaminan khas kerajaan untuk pinjaman bas dan teksi, Chong berkata sebanyak 6,000 bas akan ditarik oleh peminjam, yang biasanya akan melelong kenderaan itu.

Berkuatkuasa sejak Jun, syarikat bas persiaran boleh memohon kepada bank untuk Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas Dan Teksi (SRSBBT), yang diperkenalkan di bawah pakej rangsangan Pemerkasa Plus.

SRSBBT adalah untuk bank yang memberikan pinjaman kepada operator bas dan teksi, dan ia diuruskan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) Kementerian Kewangan, satu syarikat yang mentadbir dan menguruskan skim jaminan kerajaan.

Skim itu dengan dana RM1 bilion, menyokong syarikat kredit dalam memberi moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pembayaran semula, selain jaminan 50% bagi penstrukturan semula kemudahan kredit sewa beli.

Operator bas dan teksi yang layak akan mendapat manfaat daripada moratorium 12 bulan dan lanjutan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Chong berkata syarikat bas persiaran biasanya tidak mengambil pinjaman bank, maka tidak layak untuk mendapat moratorium pinjaman.

Sebaliknya, mereka meminjam daripada syarikat kredit, yang melelong kenderaan apabila operator bas tidak dapat lagi membayar pinjaman.

Jika harga lelong tidak dapat melangsaikan jumlah pinjaman, operator bas terpaksa berdepan tindakan guaman, dan lebih teruk lagi mungkin akan muflis.

Bagaimanapun, pihak dalam pengangkutan pelancongan berkata mereka berdepan kesukaran membuat permohonan skim SRSBBT. – 6 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan