Iklan

103 kematian, 943 pesakit di ICU, kata KP kesihatan

Aminah Farid3 years ago6th Jul 2021Berita
Covid-19 corona virus hkl icu 10  full
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah korban akibat Covid-19 sejak negara dilanda pandemik itu kini mencecah 5,677. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 103 kes kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah korban yang direkodkan sejak negara dilanda pandemik itu kini mencecah 5,677 orang, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata angka harian korban Covid-19 itu dilaporkan ketika negara mencatat 7,654 kes baharu hari ini, paling tinggi dalam 31 hari.

Sebanyak 63.3% daripada kes baharu hari ini direkodkan di Lembah Klang dalam tempoh 24 jam yang lalu, katanya dalam kenyataan.

Selangor penyumbang sebahagian besar dengan 3,260 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 1,550 kes dan 33 kes di Putrajaya.

Dr Noor Hisham juga berkata jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) juga mencatat peningkatan iaitu seramai 943 orang, dengan 450 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 4,797 kes pulih dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang sembuh setakat ini 714,815 orang.

Daripada 103 kes kematian hari ini, 43 dilaporkan di Selangor, diikuti  Kuala Lumpur (18); Negeri Sembilan (12); Melaka (3); Johor (9); Kelantan (6); Pahang (4); masing-masing dua kes di Sarawak dan Kedah; manakala Sabah, Perak, Labuan dan Pulau Pinang masing-masing satu kes, tambahnya. 

Mangsa termuda ialah lelaki berusia 21 tahun dari Pahang yang meninggal dunia di rumah, serta menghidap penyakit kencing manis dan jantung. Jenazah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. – 6 Julai, 2021. 

Iklan
Iklan