Iklan

Jadilah pendengar untuk mereka yang berduka kerana kematian Covid-19, kata kaunselor

Khoo Gek San3 years ago7th Jul 2021Berita
Covid19 victims tmi 011
Sukar untuk seseorang menerima kematian akibat Covid-19 kerana mereka tidak dapat bertemu sejak pesakit dimasukkan ke hospital hinggalah dikebumikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.
Iklan

MEREKA yang kenal sesiapa yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19 boleh memainkan peranan penting dengan menjadi pendengar untuk individu berkenaan meluahkan kesedihan, tanpa perlu cuba memberi nasihat, kata kauselor, ketika angka kes harian dan kematian kekal tinggi.

Bersedih atas kematian kerana Covid-19 menjadi bertambah sukar kerana ia diburukkan dengan keadaan di mana pesakit terpaksa dipisahkan daripada keluarga, dan arahan sekatan pergerakan menyebabkan pengebumian pesakit tidak dapat dihadiri ahli keluarga.

Kaunselor Lee Shae Nee berkata individu yang berada di sekeliling yang sedang bersedih, perlu belajar untuk mendengar dan memahami.

“Bila menyaksikan sendiri kawan anda bersedih, ia tidak akan membantu jika anda nasihatkan dia supaya jangan fikirkan sangat. Sebaliknya, mendengar dengan senyap adalah cara terbaik yang boleh anda buat untuk dia,” kata Lee.

Pakar psikologi Alice Lee berkata satu lagi perkara penting yang boleh dibuat ialah memantau tanda kesakitan emosi, kerana kesedihan selepas kematian mungkin muncul dalam tempoh lama selepas itu.

“Ada kemungkinan dalam tempoh enam bulan kemudian, ramai yang akan mengalami masalah emosi kerana kematian insan yang mereka sayangi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga kerana pandemik, kami tidak akan syorkan untuk menjalani kaunseling serta merta, tetapi akan memantau mereka buat sementara waktu.

“Jika tidak ada peningkatan emosi, tolong minta bantuan segera,” kata Alice.

Begitu juga bagi mereka yang merasakan kesedihan tidak reda selepas masa yang lama, patut mencari seseorang untuk meluahkan perasaan.

Ahli keluarga dan rakan perlu memerhatikan keadaan ini dan member ruang kepada mereka yang sedang bersedih untuk menangis.

“Dalam sesi kaunseling juga, kami cuba membabitkan ahli keluarga untuk memberikan sokongan dan mendengar.

“Kita tidak minta individu yang sedang bersedih itu untuk melupakan si mati tetapi belajar perlahan-lahan untuk melepaskannya pergi.

“Menangis juga cara untuk meredakan tekanan. Ahli keluarga perlu saling membenarkan mereka menangis sebagai salah satu cara memberikan sokongan,” kata Alice.

Setakat 5 Julai, Malaysia merekodkan 5,574 kes kematian akibat Covid-19. Jumlah kematian daripada pandemik meningkat tahun ini berbanding tahun lalu yang melaporkan 471 kematian. Pada Jun saja seramai 2,374 pesakit Covid-19 meninggal dunia, dengan pegawai kesihatan berkata peningkatan itu berikutan penularan varian yang lebih ganas dan mudah berjangkit.

Seorang ejen insurans yang hanya mahu dikenali sebagai Brian, berkata beliau masih bersedih atas kematian ibunya kerana Covid-19 baru-baru ini.

Beliau tidak dapat bertemu ibunya dari dimasukkan ke hospital hinggalah meninggal dunia.

Pada masa sama, seluruh ahli keluarganya dijangkiti virus itu, termasuk bayi perempuannya berusia 18 bulan. Tiada sesiapa yang dapat mengendalikan majlis pengebumian yang sempurna untuk ibu kerana semua dikenakan pengasingan.

Brian berkata beliau masih tidak dapat melupakan apa yang berlaku.

“Tidak dapat saya gambarkan kesedihan di hati ini. Ibu saya sudah meninggal dunia. Isteri dan anak saya dijangkiti. Saya sedih, tetapi saya perlu kuat kerana saya juga perlu menjaga kesihatan keluarga saya.”

Beliau mengakui rasa tidak tahu hendak buat apa dan bimbang jika dirinya hilang kawalan emosi. Sesetengah rakannya menasihati untuk beliau mendapatkan kaunseling.

Alice bersetuju sukar untuk orang menerima kematian akibat Covid-19 kerana mereka dilarang memberi penghormatan terakkhir kepada si mati, dan tidak dapat bersama keluarga dan rakan terdekat untuk melalui saat getir itu bersama-sama.

“Pandemik menyebabkan ahli keluarga tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada insan tersayang dan ini secara tidak langsung menyebabkan tekanan pasca traumatic.

“Banyak keluarga tidak dapat membayangkan bagaimana hendak berdepan dengan kematian ketika pandemik apabila mereka tidak dapat bertemu buat kali terakhir.” – 7 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan